Selasa, 29 March 2022 | 8:57am
Pemandu pasukan Red Bull, Max Verstappen berhenti sejurus menamatkan perlumbaan F1 GP Arab Saudi di Litar Jeddah Corniche pada hujung minggu lalu. Verstappen yang juga juara dunia memenangi perlumbaan ini. - Foto AFP
Pemandu pasukan Red Bull, Max Verstappen berhenti sejurus menamatkan perlumbaan F1 GP Arab Saudi di Litar Jeddah Corniche pada hujung minggu lalu. Verstappen yang juga juara dunia memenangi perlumbaan ini. - Foto AFP

Pelumba F1 minta bincang status GP Arab Saudi

JEDDAH: Formula Satu (F1) perlu membincangkan sama ada Grand Prix (GP) Arab Saudi masih relevan selepas sesi kelayakan tertangguh beberapa jam akibat serangan ke atas depoh minyak berhampiran litar.

"Saya tidak mahu bercakap secara terperinci tentang subjek ini sekarang, tetapi perbincangan perlu diadakan selepas perlumbaan ini, sebaik keadaan reda," kata pendahulu kejuaraan dari Ferrari, Charles Leclerc.

Juara dunia dan pemenang perlumbaan Max Verstappen dari Red Bull berkata: "Saya rasa selepas hujung minggu ini, semua pelumba sepakat, kami akan bercakap dengan F1 dan bos-bos pasukan untuk melihat apa yang akan berlaku pada masa akan datang."

Pelumba-pelumba turut merungut berkenaan keadaan litar yang menyebabkan pemandu Haas, Mick Schumacher terbabas ketika sesi kelayakan.

"Saya rasa ia tempat paling bahaya dalam kalendar," kata pemandu Red Bull, Sergio Perez yang meraih petak utama sulung dalam kariernya.

Arab Saudi menandatangani perjanjian mengendalikan perlumbaan F1 untuk tempoh 15 tahun, dengan yuran lumayan buat pemilik F1, Liberty Media.

GP Arab Saudi turut menggambarkan pengaruh besar Timur Tengah dalam sukan itu, dengan syarikat Aramco milik negara itu menjadi penaja utama F1 dan rakan kongsi dalam pasukan Aston Martin.

McLaren dimiliki oleh Mumtalakat, dana pelaburan dari Bahrain yang menjadi tuan rumah untuk sesi latihan pra musim dan perlumbaan pembuka tirai 20 Mac lalu.

- REUTERS

Berita Harian X