JEDDAH, Arab Saudi: Juara dunia, Max Verstappen mengakui lega selepas memastikan kemenangan pertama musim ini mengatasi Charles Leclerc pada saingan Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Arab Saudi di sini, sebentar tadi.
Pemandu Belanda berusia 24 tahun itu berkata ia sememangnya sukar, namun ia perlumbaan yang bagus yang menunjukkan pertarungan musim ini "akan menjadi sangat rapat antara kami berdua" selepas hanya setengah saat di depan jentera Ferrari itu.
"Ia sesuatu yang penuh muslihat," kata pemandu Red Bull itu.
"Kami bertarung hebat di depan dan kami perlu menunggu. Mereka sangat pantas di selekoh tetapi kami lebih pantas di laluan lurus.
"Tayar cepat habis, jadi anda boleh lihat pada penghujungnya, saya rasa kami ada sedikit kelajuan tambahan dan saya cuba mendapatkannya."
Verstappen menambah dia perlu belajar untuk menjadi sabar bagi mendapatkan yang terbaik daripada jentera 'era baharu' miliknya.
"Ia bukanlah mudah, mereka beraksi dengan baik pada selekoh terakhir, tapi saya berjaya berada di depan.
"Dengan bendera kuning pada pusingan terakhir, menyedari berapa laju anda perlukan dan apa yang dibenarkan atau tidak, ia memang mencabar," katanya. - AFP