KUALA LUMPUR: Pink Racing Team (PRT) terus mengorak langkah dalam usaha memeriahkan arena sukan permotoran negara dengan mengekalkan identiti mempertaruhkan pelumba wanita.
PRT kali ini diperkuat dengan kehadiran rakan penaja utama iaitu Tobaki, satu satu jenama alat ganti milik syarikat AFTA Motor Sdn Bhd dan sekali gus dikenali dengan nama baharu, Tobaki Pink Racing Team (TPRT).
Pemilik pasukan, Nur Atikah Azwar berkata, misi utama TPRT musim ini adalah melakarkan keputusan lebih memberangsangkan pada saingan Cub Prix Malaysia.
Katanya, biarpun nama TPRT tidak sehebat pasukan lain namun segala usaha akan dilakukan untuk menjadi pasukan berwibawa satu hari ini.
"Walaupun kami masih baru tapi kami percaya bahawa istilah percaya proses itu akan membantu mematangkan pasukan. Harus berani meletakkan sasaran dan kami sentiasa bekerja keras untuk memperbaiki segala kelemahan yang dikenal pasti pada musim lalu.
"InsyaAllah jika semua berjalan lancar seperti yang dirancang, saya yakin pasukan kami mampu memberikan cabaran," katanya.
TPRT kali ini masih mengekalkan pelumba wanita Nur Dini Uzma yang akan bersaing sepenuhnya dalam kejuaraan berprestij itu.
Harith Farhan Baharin dan Saiful Azhary Mohamad akan diberi kepercayaan mengalas cabaran dalam kelas CP125 manakala kelas Wira akan diterajui muka baharu Danny Mikhail dan Muhammad Irfan Danish.
Pada penampilan sulung, PRT berjaya meraih tiga podium menerusi Harith dalam kelas CP125 dan ia dilihat satu pencapaian luar biasa buat pasukan yang masih mentah dengan pengalaman.