Khamis, 24 Februari 2022 | 9:12pm
Gambar fail - Pelumba pasukan OneXOX BMW TKKR Racing, Adam Norrodin (kiri).
Gambar fail - Pelumba pasukan OneXOX BMW TKKR Racing, Adam Norrodin (kiri).

Adam sudah sedia gegar perlumbaan ARRC 2022

KUALA LUMPUR: Pelumba dua roda negara, Adam Norrodin percaya pengalaman berlumba dalam Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) dan Kejuaraan Eropah (CEV) sebelum ini, mampu membantunya menggegar saingan Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) musim 2022.

Pelumba berusia 23 tahun yang akan membuat penampilan sulung bersama pasukan OneXOX BMW TKKR Racing dalam saingan kelas Asian Superbike 1000cc (ASB 1000) itu, tidak gentar dengan cabaran baharu yang bakal ditempuhi kelak, malah menyasarkan untuk muncul juara keseluruhan dalam saingan itu.

"Saya sasarkan minda untuk menang sahaja dan akan berusaha untuk menang di ASB 1000 tahun ini," katanya pada sidang media secara maya hari ini.

Saingan musim ini menyaksikan Adam bakal menunggang motosikal BMW S1000RR model tahun 2022 dan akan bergandingan bersama juara bertahan Azlan Shah Kamaruzaman.

Adam juga memaklumkan status pasukan OneXOX BMW TKKR Racing yang berjaya membuktikan mereka antara pasukan terbaik dalam saingan ARRC pada musim terdahulu, merupakan daya tarikan utama yang mendorongnya untuk bersama mereka.

Dia sebelum ini membuat kemunculan pertama dalam perlumbaan Moto3 pada 2016 bersama pasukan Drive M7 SIC Racing Team, dan pernah menjadi pelumba gantian bagi saingan Moto2 bersama pasukan Petronas Sprinta Racing pada musim lepas serta 2019.

Selain itu, beliau juga meraih tempat kelima secara keseluruhan termasuk tiga kedudukan podium pada saingan Kejuaraan CEV Moto2 Eropah, pada tahun lepas.

Sementara itu, prinsipal pasukan Bobie Farid Shamsuddin mengakui kemasukan Adam ke pasukannya mampu menambah 'sengat', serta menaikkan semangat pasukan untuk melakar lebih banyak kejayaan membanggakan, termasuk mengulangi pencapaian muncul juara musim 2019 dalam kelas ASB1000.

Bagaimanapun, beliau menjangkakan musim kali ini pastinya akan lebih sengit bagi pasukan yang ditubuhkan pada 2016 itu, memandangkan pasukan lain seperti Yamaha Racing Indonesia dan Astra Honda Racing Team memiliki jentera yang mampu menggugat kedudukan mereka kali ini.

Pelumba bakal beraksi dalam ujian rasmi ARRC di Litar Antarabangsa Chang, Thailand pada 22 dan 23 Mac, sebelum Pusingan 1 membuka tirai dari 25 hingga 27 Mac di litar sama.

Malaysia akan menjadi tuan rumah Pusingan 2 di Litar Antarabangsa Sepang dari 27 hingga 29 Mei, manakala venue Pusingan 3 yang dijadual berlangsung pada 1 hingga 3 Julai, masih belum diputuskan.

Litar Antarabangsa Sugo, Jepun pula akan menjadi venue perlumbaan bagi Pusingan 4 dari 12 hingga 14 Ogos manakala Litar Antarabangsa Zhuhai, China menjadi lokasi Pusingan 5 dari 9 hingga 11 September, sebelum musim 2022 melabuhkan tirai di Litar Antarabangsa Chang dari 18 hingga 20 November.

- BERNAMA

Berita Harian X