Khamis, 17 Februari 2022 | 8:09pm
AzlanShah (kanan) dan Adam menjadi taruhan pasukan OneXOX BMW TKKR Racing untuk saingan ARRC 2022.
AzlanShah (kanan) dan Adam menjadi taruhan pasukan OneXOX BMW TKKR Racing untuk saingan ARRC 2022.

'The Pirate' sedia pertahan gelaran Asia Superbike 1000

KUALA LUMPUR: Juara kelas Asia Superbike (ASB 1000) Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC), Azlan Shah Kamaruzaman mempunyai misi mempertahankan gelaran diraihnya pada kempen 2022 yang dijadual membuka tirainya, Mac ini.

Hasratnya itu diperkuatkan lagi dengan kehadiran rakan gandingan baharu, Adam Norrodin sekali gus melaungkan amaran awal untuk meraih gelaran kedua dalam saingan kelas perdana berkenaan.

Pelumba berusia 37 tahun atau dikenali dengan julukan 'The Pirate' itu berkata, sepanjang ketiadaan perlumbaan selepas dua musim disebabkan pandemik COVID-19, dia kerap menjalani latihan seperti biasa termasuk menyertai perlumbaan tempatan seperti SuperMoto.

"Saya kerap berlatih dan juga sering menyertai perlumbaan SuperMoto untuk mempertajamkan tindak balas saya," kata Azlan yang sebelum ini pernah muncul juara dalam kelas SuperSports 600 pada 2013 dan 2017 itu.

Semalam, pasukan OneXOX BMW TKKR Racing mengumumkan Azlan dan Adam sebagai barisan pelumba mereka bagi saingan kelas perdana berkenaan.

Azlan dan Adam yang pernah bergandingan bersama ketika perlumbaan Kejuaran Endurance Dunia 8 Jam Sepang itu bakal menggunakan jentera model tahun 2022, BMW S1000RR bagi saingan Asia nanti.

"Saya fikir Adam akan menjadi aset hebat kepada pasukan dan saya berharap dia boleh menjadi 'pemain sayap' yang baik untuk saya. Saya kan cuba membimbingnya sebaik mungkin.

"Saya harap dengan kerjasama, kami dapat memberikan kejuarana kepada pasukan sekali lagi tahun ini," kata Azlan.

Ujian rasmi ARRC dijadual berlangsung di Litar Antarabangsa Chang, Thailand dari 22 hingga 23 Mac ini, sebelum Pusingan 1 membuka tirainya dari 25 hingga 27 Mac di gelanggang sama.

Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bakal menjadi lokasi bagi Pusingan 2 dari 27 hingga 29 Mei manakala lokasi Pusingan 3 (1 hingga 3 Julai) masih belum ditetapkan.

Pusingan 4 dijadual berlangsung di Litar Antarabangsa Sugo, Jepun dari 12 hingga 14 Ogos manakala Litar Antarabangsa Zhuhai, China menjadi lokasi Pusingan 5 (9 hingga 11 September). Litar Antarabangsa Chang menjadi lokasi penutup tirai bagi kempen 2022 dari 18 hingga 20 November.

Berita Harian X