KUALA LUMPUR: Md Adib Rosley berpeluang menamatkan kemarau 11 tahun tanpa kejuaraan di pusingan kemuncak Kejuaraan Cub Prix Malaysia 2021 di Litar Antarabangsa Sepang, hujung minggu ini.
Pelumba Ipone Yamaha YY Pang Racing Team itu kini hanya memerlukan 19 mata untuk memastikan trofi kelas CP125 menjadi miliknya.
Begitupun, Adib jelas tidak mahu memandang mudah perlumbaan di Litar Sepang itu dan akan sentiasa berhati-hati dalam setiap sesi saingan bagi memastikan dirinya berada dalam kelompok lima terbaik perlumbaan.
"Saya perlu berhati-hati kerana masih ada berbaki dua perlumbaan, macam-macam perkara boleh terjadi," kata Adib.
"Dalam litar, kadangkala kesilapan pelumba lain boleh membabitkan kita atau masalah jentera pun mungkin boleh berlaku.
"Saya tak mahu mengambil risiko terlalu tinggi untuk terlalu mencuba, saya hanya akan cuba berada di kelompok lima teratas dan mengumpul mata diperlukan.
"Saya agak berdebar kerana berpeluang menjadi juara selepas 11 tahun dan tahun ini juga pasukan saya berada di tahap terbaik untuk mengejar kejuaraan CP125."
Untuk rekod, kali terakhir Adib muncul juara keseluruhan adalah dalam kelas Wira pada 2010 dan sejak itu, nasib tidak menyebelahinya baik dalam kelas CP115, CP130 ataupun CP125.
Selepas lapan pusingan Adib dan rakan sepasukan, Md Fareez Afeez Abd Rahman melakar sembilan podium dan empat kemenangan dengan mengumpul 252 mata sekali gus berada pada landasan terbaik untuk pasukan Ipone Yamaha YY Pang Racing Team menjadi Juara Keseluruhan Pasukan CP125 musim ini.
Kedudukan Keseluruhan CP125
1. Md Adib Rosley (Ipone Yamaha YY Pang Racing Team) 150 mata
2. Md Hafiza Rofa (ONEXOX TKKR Racing Team) 118 mata
3. Md Syafiq Rosli (PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor) 109 mata
4. Md Fareez Afeez Abd Rahman (Ipone Yamaha YY Pang Racing Team) 102 mata
5. Ahmad Syukran Aizat Md Yusoff (PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing) 84 mata