Selasa, 14 Disember 2021 | 7:38pm
Harith Haziq (kiri) terbabit kemalangan yang menyebabkan dia terlepas mata berharga di Tangkak, bulan lalu. - Foto ihsan Cub Prix
Harith Haziq (kiri) terbabit kemalangan yang menyebabkan dia terlepas mata berharga di Tangkak, bulan lalu. - Foto ihsan Cub Prix

Harith mahu gegar Sepang hujung minggu ini

KUALA LUMPUR: Jurang perbezaan mata yang kecil antara empat kelompok teratas kelas Wira di Kejuaraan Cub Prix Malaysia 2021 bukan penghalang buat pelumba Castrol Power1 Honda Team, Md Harith Haziq Zamri untuk menyekat penguasaan PETRONAS Sprinta Yamaha-31 Racing di pusingan kemuncak musim hujung minggu ini.

Pada ketika ini, dua pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha-31 Racing iaitu Md Aqil Danial Nasrul dan Danial Johan masing-masing menguasai kedudukan pertama dan kedua carta pelumba kelas berkenaan dengan 113 mata dan 104 mata sekali gus mencerahkan peluang pasukan itu untuk merangkul gelaran buat kali ketiga berturut-turut.

Namun Harith yang dibezakan 14 mata di kedudukan keempat tetap optimis mampu menyekat kemaraan gandingan berkenaan apatah lagi Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dijadual menawarkan 50 mata berharga.

"Saya ada keyakinan dengan situasi dan prestasi saya sekarang walaupun saya sedar pendahulu kejuaraan mempunyai kelebihan untuk menghalang tapi saya akan tetap akan cuba sehingga ke garisan penamat", kata Harith.

Untuk rekod, Harith berjaya meraih dua kemenangan di Litar Permotoran Terengganu pada Pusingan 5 dan 6 awal Oktober lalu namun nasib tidak menyebelahinya di Tangkak, Johor bagi Pusingan 7 dan 8 selepas itu.

Pelumba berasal dari Selangor itu terbabit dengan kemalangan pada Pusingan 7 dan tidak dapat memulakan perlumbaan Pusingan 8 susulan insiden berkenaan.

Sementara itu, seorang lagi pencabar terdekat duo PETRONAS Sprinta Yamaha-31 Racing dari pasukan Moto1 Koyoko Honda KC Racing Team, Md Irfan Haykhal Amidi turut melontarkan keazaman untuk mencabar gelaran.

"Pasukan sudah menyediakan jentera saya dengan sangat baik bagi menghadapi perlumbaan di Sepang nanti," kata Irfan. "Saya akan cuba mendapatkan mata sebanyak mungkin untuk bersaing merebut gelaran juara keseluruhan."

Kedudukan keseluruhan (lima teratas):

Kelas Wira -

1. Md Aqil Danial Nasrul (PETRONAS Sprinta Yamaha-31 Racing) 113 mata

2. Danial Johan (PETRONAS Sprinta Yamaha-31 Racing) 104 mata

3. Md Irfan Haykhal Amidi (Moto1 Koyoko Honda KC Racing Team) 100 mata

4. Md Harith Haziq Zamri (Castrol Power1 Honda Team) 99 mata

5. Md Adam Haikal Jahar (Wiramuda V-Fiertech Academy Racing) 84 mata

Berita Harian X