Ahad, 5 Disember 2021 | 6:48pm
Qabil bersama bapanya, Azlan Abd Rahman.
Qabil bersama bapanya, Azlan Abd Rahman.

Qabil ungguli Kejuaraan Junior SIC Ohvale

SEPANG: Pelumba cilik dari Terengganu, Qabil Irfan Azlan nyata berada dalam kelas tersendiri apabila muncul juara keseluruhan bagi kelas 110cc Kejuaraan Junior SIC Ohvale 2021.

Gelaran itu adalah yang keduanya berturut-turut selepas tahun lalu turut muncul juara SIC MiniGP sebelum kejuaraan itu dijenamakan semula kepada Kejuaraan Junior SIC Ohvale.

Pada pusingan kemuncak minggu ini, pelumba berusia sembilan tahun itu menguasai keempat-empat perlumbaan dan seterusnya menutup tirai kempen 2021 dengan 284 mata.

Berada di tempat kedua adalah rakan senegerinya, Adam Danial yang menamatkan kempen dengan 219 mata manakala Shah Putra melengkapkan podium di tempat ketiga, 167 mata.

Mengulas mengenai dua perlumbaan hari ini termasuk yang terakhir berlangsung dalam keadaan litar basah, Qabil berkata, saingan sedikit sukar berbanding biasa.

"Sedikit susah hari ini disebabkan hujan namun sebelum ini saya banyak melakukan latihan dalam keadaan hujan," kata Qabil kepada media, hari ini.

Mengulas mengenai saingan musim ini secara keseluruhan, Qabil berkata, ia sedikit sukar memandangkan terdapat ramai pelumba yang mampu memberikan saingan kepadanya.

"Tahun ini lebih susah berbanding tahun lalu kerana kali ini, pesaing ramai yang lebih laju," katanya yang mengharapkan dapat beraksi di kelas 160cc pada satu masa nanti.

Untuk rekod, Qabil daripada 12 perlumbaan musim 2021, Qabil meraih 11 kemenangan dan hanya sekali berada di tempat ketujuh pada Perlumbaan 2 Pusingan 4 di Litar Kart Antarabangsa Sepang, sebelum ini.

Keputusan hari ini

110cc Perlumbaan 3

1. Qabil Irfan - 14:37.094s

2. Adam Danial - 14:41.141s

3. Shah Putra - 14:42.510s

4. Airel Marzuki - 14:43.424s

5. Aqil Ramadhan - 14:54.128s

Perlumbaan 4

1. Qabil Irfan - 10:58.881s

2. Shazrel Aqief - 11:02.444s

3. Daniel Syazwan - 11:03.430s

4. Adam Aiman - 11:06.501s

5. Qayyim Razin - 11:07.770s

Kedudukan keseluruhan

1. Qabil Irfan 284 mata

2. Adam Danial 219 mata

3. Shah Putra 167 mata

4. Airel Marzuki 135 mata

5. Qayyim Razin 121 mata

Berita Harian X