Sabtu, 16 Oktober 2021 | 6:55pm
Khairul Idham meraikan kejayaannya mengungguli perlumbaan pertama MSBK 2021 di podium.
Khairul Idham meraikan kejayaannya mengungguli perlumbaan pertama MSBK 2021 di podium.

SuperKIP masih unggul

KUALA LUMPUR: Walaupun tidak menjalani latihan hampir setahun, bekas pelumba Moto3 negara, Khairul Idham Pawi membuktikan tunggangannya belum 'berkarat' apabila muncul juara perlumbaan pertama Kejohanan Superbike Malaysia (MSBK) 2021 di Litar Antarabangsa Sepang, hari ini.

Khairul Idham yang beraksi bersama pasukan TKKR Racing dalam kategori 600cc melengkapkan 10 pusingan dengan catatan masa 21 minit 59.034 saat (s).

Md Syarifuddin Azman atau Damok di tempat kedua 21:59.383s manakala Mohd Helmi Azman ketiga, 21:59.430s.

Bagi Prinsipal pasukan, Datuk Bobie Farid Shamsudin keputusan yang dilakarkan oleh pelumba yang diberi julukan Super Kip itu sesuatu yang di luar jangkaan.

"Setahun tidak berlatih dan menunggang motosikal berkuasa besar dan hanya mula menjalani latihan dan mencuba jentera Yamaha buat pertama kali pada Khamis dan Jumaat lalu, keputusan ini satu yang cukup membanggakan.

"Kami memang tidak meletakkan sebarang sasaran kepada Super Kip. Tapi kita tahu, memang dia seorang pelumba yang bagus dan hari ini dia buktikannya. Kali pertama beraksi bersama pasukan, dia terus podium," katanya.

Super Kip akan mengharungi dua lagi perlumbaan esok, untuk melengkapkan saingan MSBK di Litar Sepang minggu ini dengan Bobie berharap pelumba kelahiran Perak itu mampu untuk mengekalkan rentak dan meraih kedudukan podium sekali lagi.

Aksi Khairul Idham (depan) pada perlumbaan pertama MSBK, hari ini.
Aksi Khairul Idham (depan) pada perlumbaan pertama MSBK, hari ini.

Berita Harian X