Selasa, 12 Oktober 2021 | 6:14pm
Gambar fail - Adam Norrodin.
Gambar fail - Adam Norrodin.

'Torete' masih ada peluang

KUALA LUMPUR: Jurang 35 mata memisahkan Adam Norrodin dengan penghuni tangga ketiga keseluruhan dalam carta pelumba di Kejuaraan CEV Moto2 Eropah, Lukas Tulovic menjelang kemuncak musim 2021 di Litar Ricardo Tormo, Sepanyol, pada 21 November ini.

Secara dasarnya, kedudukan dalam kelompok tiga terbaik menjadi penanda aras untuk pelumba pelapis negara ini melangkah ke saingan Kejuaraan Dunia musim depan - pentas yang pernah disertainya ketika menyertai kelas Moto3 dari 2016 hingga 2018.

Walaupun tampak sukar, peluang untuk Adam mengekori jejak Syarifuddin Azman yang bakal membuat kemunculan penuh dalam kelas Moto3 Kejuaraan Dunia 2022 sebenarnya masih realistik.

"Kita tak tahu, sekarang ini masih awal," kata pengurus pasukan SIC Racing Team, Zulfahmi Khairuddin. "Banyak pasukan yang belum mengumumkan pelumba mereka dan ada juga pasukan yang memerlukan bajet.

"Mungkin dalam beberapa minggu ini kita boleh mendapatkan bajet atau tempat untuk Adam. Apapun, dia masih layak untuk berlumba di Kejuaraan Dunia kerana saya tak nak peluang itu dapat terlalu mudah walaupun dia tak capai apa yang sepatutnya dicapai."

Adam atau julukannya 'Torete' memasuki tahun ketiga di CEV Moto2 Eropah bagi musim ini dengan menunjukkan prestasi lebih konsisten, meraih tiga penamat di tempat ketiga bersama pasukan Liqui Moly Intact SIC Racing Team.

Mengulas lanjut mengenai hala tuju perancangan Adam sekiranya tidak menyertai Kejuaraan Dunia musim depan, Zulfahmi berkata: "Saya akan berbincang dengan pihak SIC (Litar Antarabangsa Sepang).

"Kita tak nak pelumba kita, apabila habis, habis begitu saja. Adam masih 23 tahun, ada banyak peluang kita boleh terokai (seperti) beri peluang di CEV, (namun) pada akhirnya bajet itu bukan dari saya."

Berita Harian X