Ahad, 10 Oktober 2021 | 6:55pm
Syarifuddin (tengah) meraikan kejayaan bersama kru pasukannya.
Syarifuddin (tengah) meraikan kejayaan bersama kru pasukannya.

Misi Damok di Kejuaraan Motosikal Dunia 2022

KUALA LUMPUR: Pelumba muda negara, Syarifuddin Azman bertekad untuk mengungguli anugerah 'Rookie of the Year' pada penampilan sulungnya di Kejuaraan Motosikal Dunia 2022.

Sasaran itu diletakkan Syarifuddin atau lebih dikenali sebagai Damok, apatah lagi ramai muka baharu dalam saingan kelas Moto3 musim depan adalah pelumba sama yang menyertai Kejuaraan CEV Moto3 Remaja Dunia bersamanya musim ini.

"Pencabar saya ramai (untuk Rookie of the Year Moto3 2022), (pelumba) sama juga yang berlumba di CEV," kata Damok yang sebelum ini memenangi Perlumbaan 1 Pusingan 3 di Litar Catalunya, Jun lalu.

"Ramai yang dari CEV diangkat ke Kejuaraan Dunia (Moto3) untuk berlumba tahun depan. Apapun, saya akan tetap memberikan saingan dan 'potong' mereka."

Sebelum ini, pengurus pasukan SIC Racing Team, Zulfahmi Khairuddin mengesahkan mengenai penampilan sulung Damok di Kejuaraan Dunia 2022 dan satu pengumuman mengenai pasukan yang bakal disertainya akan diumumkan, 15 Oktober ini.

Mengulas mengenai pasukan yang bakal disertai, Damok bagaimanapun memberikan bayangan: "Pasukan di kejuaraan ini... mereka pernah berlumba di Kejuaraan Dunia pada 2017 sebelum membuat keputusan menarik diri selepas itu.

"Pasukan ini menyertai semula Kejuaraan Dunia pada tahun depan dan saya akan memasuki pasukan ini. Sesiapa yang nak tahu mengenai pasukan itu, nantikan pada 15 Oktober ini," katanya.

Berita Harian X