Khamis, 7 Oktober 2021 | 8:12pm
Gambar fail - Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah.
Gambar fail - Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah.

Hafizh tak lagi beraksi Kejuaraan Motosikal Dunia 2022

KUALA LUMPUR: Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah mengesahkan musim ini adalah tahun terakhirnya beraksi dalam Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP).

Dia yang beraksi bersama NTS RW Racing GP berkata ada beberapa faktor yang membuatkan dia mengambil keputusan berkenaan termasuk kegagalan menghasilkan keputusan seperti diharapkan bersama pasukan itu.

"Saya sebenarnya sudah buat sehabis baik dengan jentera saya. Mungkin saya dan pasukan tidak dapat cari cara mana lagi untuk tingkatkan prestasi jentera," katanya.

Pelumba berusia 27 tahun itu turut memaklumkan faktor lain adalah disebabkan kekangan kewangan kerana terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sendiri. Saya tahu ramai yang masih mengharapkan saya kekal tetapi saya perlu fikir masa depan dan mungkin buat benda yang lain," katanya.

Tegas Hafizh, dia tidak mahu kekal beraksi di MotoGP hanya disebabkan perlu membawa dana atau tajaan kepada pasukan yang ingin disertainya terutama pasukan berpangkalan di Eropah.

"Saya bukan tidak minat cara macam itu tapi saya yakin mampu bersaing dengan yang lain. Jadi kenapa saya perlu bawa duit untuk pasukan?

"Kemudian kalau saya tak dapat apa yang saya inginkan terutama prestasi jentera, saya rugi macam itu saja," katanya yang masih belum memikirkan mengenai masa depannya selepas ini tetapi tidak menolak untuk beraksi di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) atau Kejohanan Superbike Dunia (WSBK).

Berita Harian X