Isnin, 9 Ogos 2021 | 9:56pm
Pelumba PETRONAS Yamaha SRT, Valentino Rossi melambai kepada penonton ketika saingan GP Styria di Litar Red Bull Ring, Spielberg, Austria semalam. - Foto AFP.
Pelumba PETRONAS Yamaha SRT, Valentino Rossi melambai kepada penonton ketika saingan GP Styria di Litar Red Bull Ring, Spielberg, Austria semalam. - Foto AFP.

Pasukan PETRONAS unggul raih mata di GP Styria

KUALA LUMPUR: Pasukan PETRONAS Yamaha Sepang Racing Team (SRT) dan pasukan naungannya, PETRONAS Sprinta Racing merekodkan permulaan positif dalam perlumbaan pertama selepas rehat pertengahan musim apabila lima daripada enam pelumbanya berjaya mengutip mata pada Grand Prix (GP) Styria, semalam.

Tumpuan bagaimanapun terarah terhadap pengumuman dibuat Valentino Rossi yang mengumumkan akan bersara sebaik tamat saingan MotoGP hujung musim ini.

Pelumba legenda dari Itali itu yang bermula di kedudukan ke-17 mempamerkan prestasi cemerlang apabila dia menamatkan perlumbaan di tempat ke-13 sekali gus mengutip tiga mata.

Rakan sepasukannya, Cal Crutchlow yang menggalas tugas ditinggalkan Franco Morbidelli kerana cedera menamatkan perlumbaan di tempat ke-17.

Prinsipal pasukan, Datuk Razlan Razali berpuas hati dengan pencapaian yang dilakar Rossi dalam perlumbaan yang berlangsung di Litar Red Bull Ring itu.

"Perlumbaan hujung minggu kali ini dimulakan dengan pengumuman persaraan daripada Velentino. Jadi, ia adalah satu penghormatan buat kami kerana berada dalam pasukan ini yang akan menjadi tahun terakhir buat dirinya.

"Kami mengucapkan selamat maju jaya dan kami akan memberi sokongan kepada dirinya sehingga perlumbaan terakhir. Kami hanya mahu dia bergembira dan meraikan kerjayanya dalam pusingan kedua perlumbaan musim ini.

"Dia bermula dengan baik dan menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-13 adalah sesuatu yang positif. Kami tidak meletakkan sebarang sasaran khusus kepada Cal dan dia melakukan tugasnya dengan baik dengan menamatkan perlumbaan di tempat ke-17," kata Razlan.

Ketika ini, Rossi berada di kedudukan ke-19 keseluruhan dengan mengumpul 20 mata.

Dalam saingan Moto2, dua pelumba PETRONAS Sprinta Racing, Xavi Vierge dan Jake Dixon masing-masing menamatkan perlumbaan di tempat kesembilan dan ke-11.

Bagi aksi Moto3 pula menyaksikan pelumba pasukan itu, Darryn Binder dan John McPhee melepasi garisan penamat di kedudukan keenam dan ke-13.

Perlumbaan akan diteruskan di Litar Red Bull Ring hujung minggu ini bagi saingan GP Austria.

Berita Harian X