Khamis, 29 April 2021 | 7:11pm
Pelumba Moto3 PETRONAS Sprinta Racing, John McPhee pada perlumbaan di GP Portugal, baru-baru ini.
Pelumba Moto3 PETRONAS Sprinta Racing, John McPhee pada perlumbaan di GP Portugal, baru-baru ini.

McPhee enggan biar malang berulang di GP Sepanyol

KUALA LUMPUR: Pelumba Moto3 PETRONAS Sprinta Racing, John McPhee mahu 'lari' daripada nasib malang menimpanya pada awal saingan kempen Kejuaraan Motosikal Dunia 2021 sebelum ini, apabila turun pada Grand Prix (GP) Sepanyol, hujung minggu ini.

McPhee yang menamatkan perlumbaan GP Portugal pertengahan April lalu di tempat ke-23 dan tidak menamatkan perlumbaan di dua pusingan Qatar angkara kesilapan pelumba lain, sama sekali tidak mahu nasib malang itu mengekorinya di Litar Jerez.

Pelumba dari Scotland berusia 26 tahun itu berkata, Jerez banyak meninggalkan memori indah buatnya dan berjaya menghasilkan penamat tempat kedua pada perlumbaan GP Andalusia, tahun lalu.

"Tahun lalu, kami bersaing memburu kemenangan sebanyak dua kali di Jerez (GP Sepanyol dan Andalusia), jadi saya amat menantikan perlumbaan di sana dan membuang nasib malang yang saya alami setakat tahun ini.

"Setiap kali kami ke Jerez walaupun untuk ujian, kami sentiasa sangat kuat terutamanya dalam rekod kelajuan sepusingan. Sudah tentu, ia bukan tahun yang sama dan setiap pelumba mengenali trek ini namun saya yakin yang kami mampu melakukan yang sama dan meraih kelajuan diinginkan.

"Kami akan berusaha gigih bagi mencapai sasaran untuk kembali berada di kelompok depan dan pulang dengan satu keputusan yang sangat positif," kata McPhee.

Pada musim lalu, McPhee mengumpul 131 mata untuk berada di tangga ketujuh keseluruhan manakala Albert Arenas menjuarai kempen 2020 dengan mengumpul 174 mata.

Berita Harian X