Isnin, 15 March 2021 | 9:34pm
 Presiden MMRA, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini.
Presiden MMRA, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini.

MMRA bantu biayai ujian calitan pelumba Pro Am

KUALA LUMPUR: Persatuan Sukan Bermotor Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (MMRA) mengambil inisiatif meringankan beban pelumba Pro Am pada Kejuaraan Cub Prix Malaysia dengan membantu membiayai ujian calitan COVID-19.

Pelumba dalam kelas persendirian ini akan diberikan sumbangan secara 'one off' sebanyak RM60 untuk menjalani ujian Rapid Test Kit (RTK-Ag), dengan syarat perlu terlebih dulu berdaftar dengan persatuan sebelum tarikh akhir permohonan yang ditutup esok.

"Kami hanya menunggu tarikh akhir pendaftaran esok (hari ini)," kata Presiden MMRA, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini mengulas mengenai perkembangan terkini mengenai inisiatif dilakukan MMRA itu. "Asasnya, kalau mereka (pelumba Pro Am) tidak mengambil peluang ini, ia adalah sesuatu yang merugikan memandangkan pendaftaran keahlian juga RM60.

"Jadi kami memberi semula wang itu kepada mereka. Apa yang paling penting, mereka di Pro Am boleh mengurangkan kos mereka. Memang tak besar (jumlah sumbangan) tetapi kita cuba membantu mereka untuk melakukan ujian calitan dan semua ini.

"Apa yang membimbangkan kami, apabila mereka (membuat ujian calitan) di tempat lain, lain harganya. Namun kalau ke hospital atau klinik kerajaan, harga dalam RM60."

Saingan pembuka tirai Kejuaraan Cub Prix Malaysia bagi musim 2021 dijadual berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang Selatan dari 20 hingga 21 Mac ini dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) gelembung sukan yang ketat.

Antara SOP yang dikenakan termasuk ujian calitan yang perlu dilakukan pelumba tiga hari sebelum saingan bermula dan tanpa kehadiran penonton.

Justeru, MMRA mengambil pendekatan ini dan bagi pelumba Pro Am yang ingin mendapatkan sumbangan atau pun maklumat lanjut, boleh menghubungi EXCO persatuan, Yasir Said di nombor talian 019-4125767.

Mengulas lanjut, Yuzy berkata:"Sekiranya inisiatif ini menerima sambutan baik, kemungkinan pada tahun kedua nanti, kami akan sediakan bantuan seperti ini lagi ataupun membincangkan sesuatu yang lain bagi membantu pelumba. Mungkin daripada pengurangan pendaftaran dengan pihak penganjur."

Berita Harian X