Rabu, 13 Januari 2021 | 9:54pm
Prinsipal PETRONAS Yamaha Sepang Racing Team, Datuk Razlan Razali. - Foto NSTP/Nurul Shafina Jemenon
Prinsipal PETRONAS Yamaha Sepang Racing Team, Datuk Razlan Razali. - Foto NSTP/Nurul Shafina Jemenon

Pembatalan 2 ujian di Sepang tak beri impak besar

KUALA LUMPUR: Pembatalan dua ujian MotoGP di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bulan depan tidak akan memberikan impak besar terhadap persediaan pasukan PETRONAS Yamaha Sepang Racing Team (SRT) sebelum pusingan pembukaan Kejuaraan MotoGP Dunia di Grand Prix (GP) Qatar dari 26 hingga 28 Mac ini.

Prinsipal pasukan, Datuk Razlan Razali berkata pihaknya menghormati langkah Dorna Sports itu susulan keputusan kerajaan menguatkuasakan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama 14 hari bermula hari ini.

Sebanyak enam negeri terbabit dengan arahan berkenaan iaitu Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya), Selangor, Melaka, Penang, Sabah dan Johor bagi mengekang penularan pandemik COVID-19.

Razlan berkata beliau akan berbincang dengan pengurus pasukan Johan Stigfelt, mengenai rancangan mereka melakukan tiga ujian persendirian di negara Eropah, bergantung kepada kelulusan daripada Jabatan Imigresen negara-negara yang termasuk dalam rancangan itu.

"Saya difahamkan yang Dorna Sports berkemungkinan membatalkan satu lagi ujian MotoGP yang sepatutnya diadakan di Litar Jerez (di Sepanyol) dari 16 hingga18 Mac ini akibat COVID-19.

"Bagaimanapun saya percaya yang ujian di Qatar (dari 10 hingga 12 Mac) adalah lebih daripada mencukupi untuk pasukan kami memperbaiki motosikal terutamanya aerodinamik termasuk mengurangkan berat, sebelum perlumbaan sebenar," katanya kepada Bernama hari ini.

Semalam, Dorna Sports selaku pemegang hak eksklusif iklan dan siaran televisyen MotoGP mengumumkan ujian musim sejuk Kejuaraan MotoGP Dunia 2021 yang sepatutnya diadakan di SIC pada 19 hingga 21 Februari ini, dibatalkan akibat pandemik COVID-19.

Dorna turut mendedahkan ujian 'shakedown' yang dijadualkan pada 14 hingga16 Februari di SIC juga dibatalkan atas alasan sama.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif dalam satu kenyataan hari ini berkata pihaknya memutuskan untuk menangguhkan semua aktiviti permotoran sepanjang tempoh pelaksanaan PKP.

Katanya, ini termasuk pusingan kedua dan akhir Kejohanan Superbike Malaysia (MSBK) yang sepatutnya diadakan dari 20 hingga 22 Januari ini.

"Kami bercadang untuk melihat aksi daripada ujian rasmi sebelum musim ini bermula. Namun dengan kenaikan jumlah COVID-19 baru-baru ini, keselamatan dan kesihatan mereka yang terlibat, kekal menjadi keutamaan. Kami tidak boleh mengambil risiko terhadap kesihatan mereka," katanya.

- BERNAMA

Berita Harian X