Isnin, 23 November 2020 | 5:37pm
Prinsipal PETRONAS Sepang Racing Team, Datuk Razlan Razali. - Foto BERNAMA
Prinsipal PETRONAS Sepang Racing Team, Datuk Razlan Razali. - Foto BERNAMA

Razlan mohon peminat sukan permotoran bersabar

KUALA LUMPUR: Ketiadaan pelumba negara dalam pasukan PETRONAS Sepang Racing Team musim depan menimbulkan kekecewaan peminat tegar sukan permotoran dua roda tempatan, sekali gus menyaksikan prinsipal pasukan, Datuk Razlan Razali memohon kesabaran mereka.

"Saya harap semua peminat sukan permotoran bersabar kerana tahun depan kita tak dapat lihat pelumba Malaysia berlumba di pasukan ini," katanya.

"Ini kerana pelumba pelapis masih belum bersedia untuk Kejuaraan Dunia 2021 manakala program pembangunan di Kejuaraan CEV dan lain, masih berjalan seperti biasa.

"Apa yang kita harapkan, sekurang-kurangnya akan ada satu atau dua pelumba (pelapis) Malaysia akan bersedia untuk diserapkan ke pasukan ini pada tahun 2022 nanti."

Pada musim ini, Khairul Idham Pawi mewakili pasukan di kelas Moto3, namun kontraknya tidak disambung musim depan. Tempatnya di kem Moto3 PETRONAS Sprinta Racing digantikan dengan pelumba dari Afrika Selatan, Darryn Binder untuk bergandingan bersama John McPhee.

Dalam kelas Moto2 musim depan, pasukan mengekalkan pelumba sedia ada iaitu Xavi Vierge dan Jack Dixon manakala pasukan utama dalam kelas perdana, PETRONAS Yamaha SRT diwakili legenda sukan permotoran dua roda, Valentino Rossi dan Franco Morbidelli.

Untuk rekod, pelumba pelapis pasukan yang beraksi di Kejuaraan CEV ketika ini adalah Adam Norrodin dalam saingan Kejuaraan Moto2 Eropah dan Syarifuddin Azman di Kejuaraan Moto3 Remaja Dunia.

Selain dua pelumba itu, Muhammad Sharul Ezwan Sharil turut menjadi antara bakat yang sedang digilap pasukan dalam saingan European Talent Cup.

Berita Harian X