Jumaat, 23 Oktober 2020 | 2:43pm
Pelumba Afrika Selatan, Darryn Binder ditawarkan kontrak setahun oleh PETRONAS Sprinta Racing. - Foto ihsan motorsports.com
Pelumba Afrika Selatan, Darryn Binder ditawarkan kontrak setahun oleh PETRONAS Sprinta Racing. - Foto ihsan motorsports.com

Sikap tak mudah mengalah faktor Binder dipilih

KUALA LUMPUR: Semangat juang tinggi dan prinsip tidak mengenal putus asa pelumba Afrika Selatan, Darryn Binder dalam beberapa perlumbaan kategori Moto3 Kejohanan Motosikal Grand Prix (GP) musim ini menjadi faktor utama PETRONAS Sprinta Racing menawarkan kontrak setahun kepadanya.

Prinsipal PETRONAS Sprinta Racing, Datuk Razlan Razali mendedahkan, pengurusan pasukan tertarik dengan sikap pelumba pasukan CIP Green Power itu yang sentiasa berjuang meraih kedudukan podium pada perlumbaan sebenar walaupun gagal meraih keputusan positif pada sesi kelayakan.

"Binder seorang pelumba yang berusaha gigih untuk meraih kedudukan podium walaupun berhadapan pelbagai halangan dan akhirnya dia mendapat dua penyudah podioum tahun ini.

"Dengan ciri-ciri yang ada pada beliau, kita fikir dia memang bagus untuk pasukan dan kita membuat keputusan awal untuk ambil perkhidmatan beliau pada tahun hadapan kerana saya yakin ramai pasukan berminat mendapatkannya," katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Razlan menegaskan pengurusan pasukan hanya menawarkan kontrak setahun kepada pelumba berusia 22 tahun itu, susulan prestasi tidak menentu yang dipamerkan dua pelumbanya, John McPhee dari Scotland dan pelumba negara, Khairul Idham Pawi (KIP) musim ini.

Katanya, menerusi perjanjian yang dicapai kedua-dua pihak, mereka mempunyai pilihan untuk memberi peluang kepada Binder beraksi dengan pasukan Moto2 PETRONAS Sprinta Racing pada musim 2022, namun pelumba berkenaan perlu meraih kedudukan tiga pelumba terbaik pada musim hadapan.

Katanya, penyertaan Binder dalam kategori Moto2 pada musim 2022, turut bergantung kepada prestasi keseluruhan dua pelumba Moto2 Petronas Sprinta Racing Xavi Vierge dari Sepanyol dan pelumba Great Britain Jake Dixon pada musim hadapan.

"Saingan MotoGP kita perbaharui kontrak pelumba sedia ada (seperti pelumba Itali Franco Morbidelli) setiap dua tahun sekali. Moto3 dan Moto2 hanya setahun sekali kerana sekiranya ada pelumba tempatan berpotensi, kita akan cuba serapkan mereka ke dalam pasukan kita untuk musim 2022," kata Razlan.

Bulan lalu, PETRONAS Sprinta Racing mengumumkan penyertaan Binder ke dalam pasukan itu pada saingan Moto3 2021 dengan kontrak setahun.

Binder yang menyertai saingan Moto3 pada 2015 akan mengisi tempat pelumba negara, Khairul Idham Pawi yang tidak disambung kontrak susulan prestasi hambar dalam saingan Moto3 pada musim ini.

Binder mempamerkan aksi konsisten pada musim ini selepas meraih kemenangan pada GP Catalunya di Litar Barcelona-Catalunya, Sepanyol, selain meraih tempat kedua pada GP Aragon di Litar Aragon, Sepanyol, 18 Oktober lalu.

-- BERNAMA

Berita Harian X