X
Isnin, 19 Oktober 2020 | 2:58pm
Pelumba PETRONAS Yamaha SRT dari Perancis, Fabio Quartararo (depan) dan rakan sepasukan dari Itali, Franco Morbidelli pada perlumbaan MotoGP saingan GP Aragon di Litar Motorland di Alcaniz. - Foto AFP
Pelumba PETRONAS Yamaha SRT dari Perancis, Fabio Quartararo (depan) dan rakan sepasukan dari Itali, Franco Morbidelli pada perlumbaan MotoGP saingan GP Aragon di Litar Motorland di Alcaniz. - Foto AFP

PETRONAS Yamaha buat analisis prestasi di GP Aragon

KUALA LUMPUR: PETRONAS Yamaha Sepang Racing Team (SRT) akan membuat analisis terperinci selepas pelumba pasukan itu, Fabio Quartararo dan Franco Morbidelli menghadapi beberapa isu termasuk masalah tayar pada Grand Prix (GP) Aragon di Litar Aragon, Sepanyol semalam.

Prinsipal pasukan, Datuk Razlan Razali bagaimanapun masih berpuas hati selepas Morbidelli menduduki tempat keenam manakala Quartararo di kedudukan ke-18 walaupun berhadapan masalah tayar depan dan sukar beraksi selepas terbabit kemalangan ketika sesi latihan ketiga pada Sabtu.

Morbidelli mencatatkan masa 41 minit 59.147 saat manakala Quartararo merekodkan 42:15.889 saat dalam perlumbaan 23 pusingan.

"Perkara seperti ini berlaku dalam perlumbaan, kami hanya perlu belajar daripadanya dan kembali dengan lebih baik minggu hadapan," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pasukan berkenaan hari ini.

Pelumba Sepanyol Joan Mir daripada Team Suzuki Ecstar yang menamatkan perlumbaan di tempat ketiga (41:57.035 saat), mengambil alih kedudukan pendahulu Kejohanan Dunia MotoGP daripada Quartararo dengan 121 mata, manakala Quartararo turun ke tangga kedua selepas mengumpul 115 mata.

Pelumba Sepanyol Maverick Vinales daripada Monster Energy Yamaha yang berada di tempat keempat (41:57.271 saat), naik ke tangga ketiga dengan 109 mata manakala Morbidelli di kedudukan keenam dengan 87 mata selepas 10 perlumbaan.

Sementara itu, Razlan memuji pelumba Moto2 dan Moto3 PETRONAS Sprinta, Jake Dixon dari Great Britain, dan pelumba Scotland, John McPhee yang menamatkan perlumbaan masing-masing di tempat keempat dan kelima.

Dixon meraih kedudukan terbaik musimnya selepas mendapat tempat keempat dengan catatan masa 39 minit 42.500 saat manakala McPhee merekodkan 37:45.377 saat dalam perlumbaan 19 pusingan.

Beliau juga memuji rakan sepasukan Dixon, Xavi Vierge dari Sepanyol yang menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-16 (39:59.949 saat) walaupun baru pulih daripada patah tulang di kedua-dua kaki selepas terbabit dalam kemalangan pada GP Perancis di Litar Le Mans baru-baru ini.

Razlan dalam pada itu berharap pelumba Moto3 negara Khairul Idham Pawi (KIP) yang juga rakan sepasukan McPhee, meningkatkan prestasinya menjelang GP Teruel minggu hadapan, dijadual diadakan di litar sama dari 23 hingga 25 Oktober. Beliau masih belum memperoleh sebarang mata selepas 11 perlumbaan.

-- BERNAMA

Berita Harian X