Khamis, 17 September 2020 | 7:05pm
Darryn Binder. - Foto ihsan crash.net
Darryn Binder. - Foto ihsan crash.net

Darryn Binder ambil tempat John McPhee

KUALA LUMPUR: Penyertaan Darryn Binder ke dalam kem Moto3 pasukan PETRONAS Sprinta Racing musim depan meninggalkan persoalan mengenai slot siapakah yang bakal diambil pelumba dari Afrika Selatan itu.

Pasukan ketika ini membariskan dua pelumba iaitu John McPhee dari Scotland dan Khairul Idham Pawi yang baru saja melakukan pembedahan memotong sebahagian jari kelingking kanan susulan kecederaan berulang di bahagian sama, bulan lalu.

Berdasarkan penerangan diberikan Prinsipal Pasukan, Datuk Razlan Razali sebelum ini, satu daripada slot dalam kelas berkenaan sememangnya disediakan untuk pelumba negara sebagai medan 'batu loncatan' ke saingan dunia.

Ini secara tidak langsung memberi gambaran yang Khairul Idham kemungkinan akan terus kekal bersama pasukan musim depan apatah lagi pelumba berusia 21 tahun itu masih memerlukan ruang keserasian menunggang jentera Moto3 kembali selepas kali terakhir beraksi di kelas berkenaan pada 2016.

Justeru, Razlan mengesahkan Darryn bakal menggantikan tempat McPhee yang mengakhiri kemarau kemenangan di Grand Prix (GP) Perancis tahun lalu selepas kali terakhir pada 2016, pernah mengimpikan untuk bersaing di kelas pertengahan, Moto2.

"Dia (Darryn) ambil slot John McPhee," kata Razlan ringkas ketika diajukan soalan mengenai slot siapakah yang diambil Darryn yang juga adik kepada pelumba MotoGP, Brad Binder.

McPhee yang mempunyai lapan tahun pengalaman di kelas Moto3 sebelum ini juga pernah menyatakan hasrat untuk menyertai kem Moto2 PETRONAS Sprinta Racing, namun Razlan buat masa ini masih 'mengunci mulut' mengenainya.

Berita Harian X