Isnin, 14 September 2020 | 1:47pm
Khairul Idham Pawi pada perlumbaan GP San Marino di Litar Misano, semalam. - Foto ihsan facebook PETRONAS SRT
Khairul Idham Pawi pada perlumbaan GP San Marino di Litar Misano, semalam. - Foto ihsan facebook PETRONAS SRT

SuperKIP `lulus' di San Marino selepas buang jari kelingking

KUALA LUMPUR: Khairul Idham Pawi mampu melengkapkan saingan Grand Prix (GP) San Marino semalam meskipun baru kembali meneruskan saingan musim 2020 selepas pembedahan memotong jari kelingking tangan kanan di Barcelona pada 25 Ogos lalu.

Pelumba Moto3 PETRONAS Sprinta Racing itu melengkapkan 23 pusingan perlumbaan di Litar Misano dengan berada di tempat ke-21 daripada 31 pelumba.

Katanya, catatan masa sepusingan dilakukan secara hari demi hari semakin menunjukkan peningkatan namun ia masih belum mencukupi apatah lagi masih perlu menyesuaikan diri menunggang motosikal dengan situasi fizikal yang baharu.

"Gembira dapat kembali berlumba semula," kata Khairul Idham atau dikenali dengan julukan SuperKIP itu. "Hari demi hari, saya mampu memperbaiki catatan masa sepusingan termasuk pada hari perlumbaan.

"Apapun, ia masih belum cukup tetapi selepas terlepas beberapa perlumbaan dan melakukan pembedahan, saya tahu yang saya perlu mendapatkan perasaan itu semula. Saya gembira apabila dapat menunjukkan peningkatan.

"Tangan masih terasa sedikit janggal, tetapi saya pasti ia akan bertambah baik. Dengan perlumbaan seterusnya turut berlangsung di litar sama, saya fikir kami dapat melakukan sesuatu yang lebih baik minggu ini."

Untuk rekod, Khairul Idham mengalami kecederaan berulang di bahagian jari sama di sesi kelayakan GP Republik Czech, awal bulan lalu - dengan yang pertama di sesi latihan bebas GP Sepanyol 2019.

Litar Misano dijadual menjadi lokasi untuk saingan GP Emilia Romagna minggu ini sebelum saingan Kejuaraan Motosikal Dunia beralih ke Litar Catalunya, 27 September nanti.

Berita Harian X