Sabtu, 15 Ogos 2020 | 9:12pm
Khairul Idham gagal menyerlah pada aksi kelayakan GP Austria.
Khairul Idham gagal menyerlah pada aksi kelayakan GP Austria.

SuperKIP mula petak ke-28

KUALA LUMPUR: Khairul Idham Pawi yang masih belum pulih sepenuhnya daripada retak tulang jari akan memulakan perlumbaan Grand Prix (GP) Austria dari petak ke-28 daripada 31 pelumba, esok.

Pelumba Moto3 PETRONAS Sprinta Racing itu mencatat 1 minit 38.094 saat (s) pada sesi kelayakan hari ini dengan Raul Fernandez yang mewakili pasukan Red Bull KTM Ajo menempah petak pertama di litar Red Bull Ring-Spielberg.

Albert Arenas daripada pasukan Valresa Aspar Team kedua terpantas dengan catatan terbaiknya 1'36.288s, manakala rakan sepasukan Khairul Idham, John McPhee melengkapkan barisan depan perlumbaan.

Petak ketiga diraih McPhee itu adalah kedua terbaiknya selepas menyambar petak sama di GP Sepanyol, bulan lalu tetapi gagal menamatkan perlumbaan di Litar Jerez.

Khairul Idham yang kembali bersaing dalam kelas Moto3 selepas kali terakhir pada 2016, mengalami kemalangan ketika sesi kelayakan di GP Republik Czech dengan ketika ini dia perlu mengambil ubatan daripada pasukan perubatan MotoGP, Clinica Mobile bagi menahan kesakitan.

"Bukan posisi yang diharapkan tetapi kadangkala perkara seperti ini berlaku. Saya bergelut ketika membrek, dengan kesakitan di tangan apatah lagi dengan perlu banyak membrek secara keras.

"Apa yang positifnya, kami dapat memperbaiki catatan masa sepusingan tetapi sudah tentu kami menginginkan yang lebih baik lagi dalam setiap sesi.

"Jadi, untuk esok (hari ini), agak sukar sebab bermula dari kelompok belakang tetapi saya akan cuba melakukan yang terbaik dan tamatkan perlumbaan dalam posisi yang baik," kata Khairul Idham.

Selepas empat pusingan musim, Khairul Idham ketika ini masih belum mengutip sebarang mata dengan penamat terbaiknya berada di tempat ke-20 di GP Andalusia, manakala McPhee kini berada di kedudukan ketiga keseluruhan dengan 51 mata.

Keputusan sesi kelayakan Moto3

GP Austria

1. Raul Fernandez (Red Bull KTM Ajo) 1'36.277s

2. Albert Arenas (Valresa Aspar Team) 1'36.288s

3. John McPhee (PETRONAS Sprinta Racing) 1'36.306s

4. Jaume Masia (Leopard Racing) 1'36.371s

5. Celestino Vietti (SKY Racing Team VR46) 1'36.462s

.... 28. Khairul Idham Pawi (PETRONAS Sprinta Racing) 1'38.094s

Berita Harian X