Khamis, 23 Julai 2020 | 5:50pm
Khairul Idham Pawi akan menggunakan pengalaman dan data dikumpul pasukan di Litar Jerez minggu lalu bagi menghadapi saingan pusingan ketiga musim 2020 di GP Andalusia, hujung minggu ini.
Khairul Idham Pawi akan menggunakan pengalaman dan data dikumpul pasukan di Litar Jerez minggu lalu bagi menghadapi saingan pusingan ketiga musim 2020 di GP Andalusia, hujung minggu ini.

Super KIP baiki kelemahan bangkit di GP Andalusia

KUALA LUMPUR: Khairul Idham Pawi akan menggunakan pengalaman dan data dikumpul pasukan di Litar Jerez minggu lalu bagi menghadapi saingan pusingan ketiga musim 2020 di Grand Prix (GP) Andalusia, hujung minggu ini.

GP Andalusia dijadual berlangsung di litar sama yang menyaksikan pelumba Moto3 PETRONAS Sprinta Racing itu bergelut terutama di selekoh laju pada hari perlumbaan GP Sepanyol, Ahad lalu.

Khairul Idham atau Super KIP menamatkan perlumbaan yang dimenangi Albert Arenas dari pasukan Gaviota Aspar Team Moto3 itu di tempat ke-22 selepas bermula daripada petak ke-30.

Begitupun, pasukan dan pelumba berusia 21 tahun itu bakal menggunakan kelebihan data yang diperoleh di Litar Jerez minggu lalu bagi memperbaiki kelemahan dan mencari lebih keserasian ketika menunggang jentera Moto3.

"Untuk perlumbaan seterusnya, saya perlu meningkatkan keupayaan diri sendiri dan melakukan sesuatu ke atas motosikal," kata Khairul Idham yang kembali bersaing dalam kelas Moto3 selepas kali terakhir pada 2016.

"Kami bergelut di selekoh laju dan kehilangan masa di situ. Jadi ini adalah sesuatu yang perlu diperbaiki. Minggu lalu, kami tidak menemui penyelesaian terbaik tetapi kali ini kami berlumba di litar sama.

"Jadi untuk minggu ini kami mempunyai banyak data yang boleh digunakan. Saya berharap minggu ini akan menjadi lebih baik dan kami mampu melakukan penambahbaikan."

Selepas tiga perlumbaan, Khairul Idham yang pernah memenangi GP Jerman dan Argentina pada 2016 kini masih belum mengumpul sebarang mata dan berada di tangga ke-28 keseluruhan dalam senarai pelumba Moto3.

Berita Harian X