Ahad, 19 Julai 2020 | 7:14pm
Aksi pelumba Moto3 pada saingan Grand Prix (GP) Sepanyol, hari ini. - Foto AFP
Aksi pelumba Moto3 pada saingan Grand Prix (GP) Sepanyol, hari ini. - Foto AFP

SuperKIP ke-22 di Jerez

KUALA LUMPUR: Pelumba Moto3 PETRONAS Sprinta Racing, Khairul Idham Pawi menamatkan perlumbaan kedua musim ini di Grand Prix (GP) Sepanyol di tempat ke-22 dengan dirinya menyifatkan perlumbaan di Litar Jerez itu 'hampir sama' seperti di saingan pembukaan musim di Qatar, Mac lalu.

Khairul Idham melengkapkan 22 pusingan dengan catatan keseluruhan 39 minit 55.100 saat, 28.844s di belakang pemenang kali ini dari pasukan Gaviota Aspar Team Moto3, Albert Arenas.

Mengulas mengenai perlumbaan hari ini, Khairul Idham berkata, dia bergelut dengan bahagian depan jentera ketika berada selekoh laju yang menyukarkan dirinya untuk mendapatkan keserasian bersama jentera.

"Hari perlumbaan yang lebih sukar berbanding semalam," kata Khairul Idham yang kembali beraksi dalam kelas Moto3 tahun ini.

"Agak sukar untuk mendapatkan kembali rentak saya. Saya juga masih belum dapat merasai keserasian di bahagian depan ketika berada selekoh laju berbanding pelumba yang lebih laju di situ.

"Saya berada dalam kelompok yang hampir sama seperti di Qatar. Bagi saya ia tak bagus dan saya mahu menjadi lebih baik dan saya akan menantikan aksi seterusnya."

Litar Jerez sekali lagi dijadual menjadi lokasi untuk pusingan seterusnya dari 24 hingga 26 Julai ini selepas kalendar baharu 2020 tertangguh susulan pandemik COVID-19 yang merencatkan saingan musim.

"Mungkin pada minggu depan, kami perlu melakukan perubahan besar di bahagian depan, saya berharap ia akan menjadi lebih baik nanti," kata Khairul Idham yang pernah mencipta dua kemenangan dalam kelas berkenaan di GP Argentina dan Jerman pada 2016.

Berita Harian X