Khamis, 16 Julai 2020 | 6:16pm
Penunggang PETRONAS Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Fabio Quartararo. - Foto AFP
Penunggang PETRONAS Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Fabio Quartararo. - Foto AFP

Permulaan positif Quartararo, Morbidelli di MotoGP Sepanyol

KUALA LUMPUR: Penunggang PETRONAS Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Fabio Quartararo memberi amaran awal untuk menamatkan perlumbaan di podium selepas mencatatkan masa kedua terpantas di ujian MotoGP Sepanyol di Litar Jerez pada Rabu.

Pelumba 21 tahun dari Perancis itu mencatatkan 1:37.911 saat (s), hanya 0.118s di belakang pelumba Sepanyol Maverick Vinales dari Monster Energy Yamaha.

Pelumba Sepanyol yang juga juara MotoGP Dunia enam kali, Marc Marquez (Repsol Honda Team) ketiga (1:38.021s), manakala rakan sepasukan Fabio Franco Morbidelli di tempat ke-14 (1:38.646s)

"(Litar) Jerez adalah berbeza dengan (litar) Sepang dan Qatar. Saya tak sangka untuk meningkat sebegini pada sebelah perang kerana rentak yang agak konsisten.

"Esok kita akan ada masa untuk bincang mengenai penalaan, tayar dan peralatan elektronik supaya kami boleh tingkatkan lagi. Kami tidak mengejar masa, jadi agak jangal jika kali ini lakukannya. Tetapi saya amat gembira dan tidak sabar untuk hari perlumbaan untuk bermula dengan baik," kata Quartararo dalam kenyataan dikeluarkan pasukan.

Morbidelli yang berkongsi pandangan yang sama, berpuashati dengan prestasinya walaupun melakukan kesilapan pada selekoh terakhir di penghujung sesi kedua.

"Pertamanya, saya amat gembira untuk kembali ke litar dan bertemu semula dengan kru yang juga keluarga saya. Keduanya, bagus rasanya untuk kembali menunggang motosikal M1 dan rasa bagus sekali dari seawal pusingan pertama.

"Masih terdapat ruang untuk dipertingkatkan lagi, tetapi saya rasa bagus dan kami tahu apa yang kami perlu untuk meningkat lagi. Kini kami menunggu untuk permulaan musim 2020 hujung minggu ini," kata Morbidelli.

Pada ujian Moto3, pelumba PETRONAS Sprinta Racing, John McPhee dari Great Britain, mencatatkan masa terpantas 1 minit 46.263s, manakala rakan sepasukan dari Malaysia, Khairul Idham Pawi di tempat ke-22 (1:47.735s).

Sementara itu pelumba PETRONAS Sprinta Racing, Xaxi Vierge dan Jake Dixon, hanya menunjukkan prestasi di bawah par mereka selepas menamatkan ujian masing-masing di tempat ke-10 dan ke-23 pada ujian Moto2 dengan masa 1:42.758 dan 1:43.455.

GP Sepanyol akan diteruskan dengan sesi latihan bebas esok, diikuti sesi kelayakan pada Sabtu dan perlumbaan sebenar pada Ahad.

-- BERNAMA

Berita Harian X