Khamis, 9 Julai 2020 | 9:41pm
Hafizh ditemani isteri dan keluarga di KLIA sebelum berlepas ke Sepanyol. - Foto Instagram
Hafizh ditemani isteri dan keluarga di KLIA sebelum berlepas ke Sepanyol. - Foto Instagram

Hafizh sasar 5 terbaik di Jerez

KUALA LUMPUR: Pelumba Moto2 Malaysia dari pasukan Aspar, Hafizh Syahrin Abdullah berharap dapat bangkit semula dan menebus kekecewaannya, dengan menyasarkan mencatatkan keputusan cemerlang di GP Sepanyol pada 17-19 Julai ini.

Hafizh Syahrin yang kembali ke Moto2 musim ini selepas melalui dua tahun yang mengecewakan dalam kelas MotoGP, menyasarkan untuk menduduki lima terbaik dalam perlumbaan di Sirkit Jerez.

Bekas pelumba Monster Yamaha Tech 3 dan Red Bull KTM Tech 3 berusia 26 tahun itu berkata, beliau belajar banyak daripada perlumbaan terakhir di Qatar di mana beliau menduduki tempat ke-19.

"Kalau boleh memang nak dapat kedudukan lima terbaik atau sekurang-kurangnya meraih mata. Ia lebih baik daripada tanpa sebarang mata, sebab saya gagal kutip mata di perlumbaan pertama.

"Banyak perkara saya telah belajar dari perlumbaan di Qatar dan saya akan cuba ingat mana yang boleh, selain memperbaiki kelemahan yang ada," katanya kepada media hari ini.

Hafizh berlepas ke Sepanyol awal pagi tadi, selepas mendapat pelepasan khas dan kebenaran masuk ke negara itu berikutan penetapan Kesatuan Eropah yang hanya membenarkan rakyat daripada 15 negara, untuk memasuki kesatuan tersebut, dan Malaysia tidak tersenarai.

Hafizh berkata, beliau teruja untuk ujian tidak rasmi di litar Jerez pada 15 Julai, sebagai proses menyesuaikan diri dengan motosikal, selepas tidak beraksi selama empat bulan.

"Saya lebih bersedia dan tidak boleh tunggu lama untuk lompat atas jentera. Saya akan cuba buat yang terbaik demi rakyat Malaysia. Saya harapkan sesi percubaan itu nanti dapat beri saya peluang untuk adaptasi dengan jentera Moto2 secepat mungkin," katanya.

Kejohanan Grand Prix Motosikal Dunia musim 2020 telah ditangguhkan pada March selepas perlumbaan di Qatar, akibat penularan COVID-19. - BERNAMA

Berita Harian X