Ahad, 14 Jun 2020 | 3:06pm
PELUMBA negara, Khairul Idham Pawi. - Foto Luqman Hakim Zubir
PELUMBA negara, Khairul Idham Pawi. - Foto Luqman Hakim Zubir

Ada sinar SuperKIP bangkit saingan Moto3

KUALA LUMPUR: Masalah kecederaan dan penularan pandemik COVID-19 jelas memberi impak besar kepada karier pelumba negara di pentas dunia, Khairul Idham Pawi.

Pada penampilan pertama bersama PETRONAS Sprinta Racing tahun lalu, dia hanya sempat menyertai tiga perlumbaan awal musim di Grand Prix (GP) Qatar, Argentina dan Amerika Syarikat sebelum cedera pada jari kelingking kanan.

Kemalangan di GP Sepanyol pada Mei itu, menyebabkan Khairul Idham atau dikenali SuperKIP terpaksa direhatkan daripada aksi Moto2 sepanjang musim 2019 bagi membolehkan kecederaannya itu pulih sepenuhnya.

Musim 2020 pada awalnya memberi isyarat kebangkitan buat pelumba berusia 21 tahun itu meskipun terpaksa turun ke saingan Moto3 - kelas yang pernah menyaksikan dirinya merangkul dua kemenangan di GP Argentina dan Jerman pada 2016.

Begitupun, pelumba kelahiran Kampung Gajah, Perak itu sekali lagi berdepan 'laluan penuh liku' apabila pandemik COVID-19 turut mengganggu kelancaran kalendar musim 2020 sekali gus membataskan dirinya menyesuaikan diri bersama jentera Moto3.

Khairul Idham dan pesaingnya hanya sempat beraksi di perlumbaan pembuka tirai 2020 di GP Qatar, awal Mac lalu dengan dirinya menemui garisan penamat di tempat ke-26 selepas bermula daripada petak terakhir iaitu 31.

Kini, ada sinar buat SuperKIP untuk mempamerkan kemampuan apabila kalendar musim dijadual kembali bersambung di Litar Jerez, 19 Julai ini - trek yang menyimpan 1,001 pengalaman pahit buat dirinya lebih setahun yang lalu.

Mengulas mengenainya, Prinsipal Pasukan, Datuk Razlan Razali berkata: "Khairul Idham melalui satu fasa. Pada awalnya, kami mengharapkan dia dapat buat yang terbaik dalam saingan Moto2 (2019).

"Begitupun, tiada pilihan lain (turun ke kelas Moto3 tahun ini) dan bersambung dengannya pada tahun ini dan juga tahun depan. Jadi, tahun depan adalah masa untuk menilai sebenar-benarnya kemampuan Khairul Idham.

"Saya juga mengharapkan pelumba pelapis pasukan dapat melakukan yang terbaik pada musim ini, namun semuanya tidak kesampaian disebabkan isu COVID-19."

Untuk musim ini, Khairul Idham bergandingan bersama John McPhee yang menamatkan saingan di Litar Losail di tempat kedua dengan kontrak pelumba dari Scotland itu masih belum dimuktamadkan lagi.

Tahun lalu, McPhee yang menamatkan kemarau kemenangan sejak 2016 di GP Perancis pernah menyatakan keinginan untuk beralih arah ke saingan kelas pertengahan Moto2 bersama PETRONAS Sprinta Racing namun Razlan berkata, tiada keputusan yang dimuktamadkan lagi.

"Tidak juga (ke saingan Moto2). Belum diputuskan lagi. Kalau diikutkan, dia berada di kedudukan kedua dalam kejuaraan Moto3 (di belakang Albert Arenas). Apapun, kami akan mengadakan perjumpaan dan lihat bagaimana nanti," katanya.

Berita Harian X