Rabu, 26 Februari 2020 | 5:39pm
Pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah. - Foto Asyraf Hamzah
Pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah. - Foto Asyraf Hamzah

Hafizh Syahrin mahu cari 'belang sebenar' di Losail

PUTRAJAYA: Atlet sukan permotoran dua roda negara, Hafizh Syahrin Abdullah mahu menggunakan ujian rasmi pramusim terakhir di Litar Losail, Qatar minggu ini sebagai medan mencari 'belang sebenar'.

Bagi pelumba yang kembali turun ke saingan kelas Moto2 itu, Litar Losail akan menyaksikan perbezaan catatan masa berbanding ujian di Litar Jerez, baru-baru ini yang kebanyakan pelumba dari Eropah sudah mengetahui selok belok di laman sendiri.

"Ujian di Losail, penting sebab perlumbaan bermula minggu depan (6 hingga 8 Mac). Tentunya persiapan lebih rapi berbanding sebelum ini," kata Hafizh yang pada musim ini beraksi bersama pasukan Angel Nieto yang sebelum ini dikenali Aspar Racing Team, hari ini.

"Pelumba Eropah bukan saja menyertai ujian rasmi tetapi juga beberapa ujian persendirian di sana (Eropah), jadi mereka lebih laju di laman sendiri. Apabila keluar Eropah, tak semestinya mereka laju.

"Jadi, dengan kelebihan saya ada, saya akan cuba terbaik dan gunakan peluang yang ada," tambahnya yang kini semakin lega apabila menerima penajaan bagi menampung pembiayaannya menyertai musim penuh dalam kelas Moto2 daripada pihak UMW Grantt International Sdn Bhd.

Hafizh, 25, menamatkan ujian pramusim Moto2 di Jerez dengan berada di tangga ke-22 daripada 29 pelumba dengan catatan sepusingan terbaik dilakukannya adalah pada sesi kesembilan, 1 minit 41.569 saat.

"Di Jerez, ia bukan satu titik akhir buat saya walaupun berada di tangga ke-22 keseluruhan... pada hari terakhir, saya berada di tempat keempat terbaik (sesi kesembilan). Saya cuba mencari keserasian dengan jentera Moto2 kerana kelas yang saya sertai tahun lalu kelas teratas (di Kejuaraan Motosikal Dunia).

"Tahun ini saya turun (kelas Moto2) dan perlu mengubahsuai karakter kerja dengan jentera... ia memang berbeza (berbanding MotoGP). Bagi saya, dari (kelas) bawah ke atas lebih mudah untuk melakukan peningkatan.

"Saya mempunyai rakan sepasukan yang bagus iaitu Aron Canet (di Angel Nieto). Dia pun memberi maklum balas sama, sekiranya dari Moto3 ke Moto2 lebih senang tetapi MotoGP ke Moto2, memang sedikit sukar.

"Apapun, saya tidak ambil serius mengenai perkara ini, kerana saya yakin mampu melakukan yang terbaik. Saya percaya dengan sokongan Grantt, KBS (Kementerian Belia dan Sukan) dan Litar Antarabangsa Sepang (SIC)... saya akan cuba perbaiki diri untuk buat yang terbaik di ujian seterusnya di Qatar dan perlumbaan pertama nanti. Saya akan cuba melakukan yang lebih baik daripada yang dilalui sebelum ini," katanya.

Hafizh pernah menyertai kelas Moto2 secara musim penuh daripada tahun 2014 hingga 2017 dan dalam tempoh itu, dia pernah meraih beberapa penamat di pentas podium antaranya berada di tempat kedua di Grand Prix (GP) San Marino dan ketiga di GP Jepun, tiga tahun lalu.

Berita Harian X