Jumaat, 15 March 2019 | 6:42pm
AKSI pelumba Moto2 Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Khairul Idham Pawi ketika sesi ujian tertutup di SIC. - NSTP/Luqman Hakim Zubir
AKSI pelumba Moto2 Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Khairul Idham Pawi ketika sesi ujian tertutup di SIC. - NSTP/Luqman Hakim Zubir

Super KIP tekad kikis imej pakar litar basah

KUALA LUMPUR: Pelumba Moto2 negara, Khairul Idham Pawi sudah tidak sabar untuk mengikis imej 'pakar litar basah' apatah lagi dia lebih yakin dengan peluangnya pada musim ini.

Biarpun gagal mengutip mata dalam aksi pembukaan di Grand Prix Qatar, Ahad lalu, namun pelumba yang dalam tahun pertama bersama pasukan PETRONAS Sprinta Racing itu tetap gembira dengan penamat ke-17 diraihnya.

"Saya mahu mengubah persepsi itu. Memang tidak dinafikan saya lebih cendurung keadaan litar yang basah kerana dulu di kampung saya biasa menggunakan tayar 'slick', tiada tayar basah seperti perlumbaan sekarang ini.

"Saya masih cuba tingkatkan corak tunggangan saya dalam keadaan litar yang kering, dan jika dilihat daripada perlumbaan Ahad lalu memang terdapat peningkatan dari segi catatan masa saya.

"Jadi, saya berharap saya akan terus menyesuaikan diri dengan jentera baharu saya dan mendapat keputusan lebih baik dalam perlumbaan akan datang," katanya.

Ini tahun ketiga Khairul Idham menyertai kelas pertengahan Moto2 dengan dia perlu membuktikan kemampuannya sekiranya berhasrat mengikut jejak langkah Hafizh Syahrin beraksi dalam saingan MotoGP.

Pada musim lalu, dia yang digelar 'Super KIP' sekadar meraih penamat ke-23 di Grand Prix Qatar dan jika tidak kerana mengelak insiden pusingan pertama pada Ahad lalu mungkin dia berpeluang memperbaiki pencapaiannya kali ini.

"Saya bermula daripada petak ke-21 dan disebabkan mengelakkan insiden pusingan pertama menyebabkan saya tergelincir ke tangga ke-24. Saya berjaya mengejar semula untuk menamatkan saingan di kedudukan ke-17 dan ia cukup menggembirakan saya.

"Malah, jika dibandingkan tahun lalu di Qatar saya menamatkan saingan lebih 40 saat daripada pemenang, namun kali ini hanya kira-kira 23 saat. Musim ini nampak lebih baik berbanding tahun lalu," katanya.

Khairul Idham pernah mencetuskan fenomena dalam kemunculan sulungnya di Moto3 apabila memenangi Grand Prix Argentina dan Jerman pada 2016 dalam keadaan litar yang basah.

Berita Harian X