Ahad, 10 March 2019 | 6:32pm
ZAQHWAN Zaidi beraksi dalam Perlumbaan 2 kelas Asian Superbikes 1000cc pada Kejuaraan Motosikal Asia Idemitsu (ARRC) di Sirkit Antarabangsa Sepang (SIC). - Foto Luqman Hakim Zubir
ZAQHWAN Zaidi beraksi dalam Perlumbaan 2 kelas Asian Superbikes 1000cc pada Kejuaraan Motosikal Asia Idemitsu (ARRC) di Sirkit Antarabangsa Sepang (SIC). - Foto Luqman Hakim Zubir

Zaqhwan ungguli 1000cc, Kasma ketiga 600cc

SEPANG: Zaqhwan Zaidi memenangi Perlumbaan 2 kelas Asian Superbikes 1000cc di Kejuaraan Motosikal Asia Idemitsu (ARRC) dalam keadaan berisiko tatkala trek perlumbaan di Sirkit Antarabangsa Sepang (SIC) dibasahi hujan. 

Pelumba Honda Asia-Dream Racing With SHOWA itu masih dalam proses untuk pulih daripada pembedahan tangan dilakukannya Disember lalu dan sekiranya mengalami insiden di SIC, ia bakal memudaratkan karier perlumbaannya musim ini. 

Namun bekas pelumba Moto2 di Kejuaraan Motosikal Dunia pada 2015 itu mampu mengatasi cabaran mental dan fizikal berkenaan sebelum menemui garisan penamat secara solo dengan catatan keseluruhan terpantas, 27 minit 20.147 saat. 

ZAQHWAN Zaidi (tengah) bergambar bersama pemenang tempat kedua, Thitipong Warakorn (kiri) dan Yuki Ito (ketiga). - Foto Luqman Hakim Zubir
ZAQHWAN Zaidi (tengah) bergambar bersama pemenang tempat kedua, Thitipong Warakorn (kiri) dan Yuki Ito (ketiga). - Foto Luqman Hakim Zubir

"Sebenarnya agak sakit lagi, ini pun terpaksa mengambil ubat penahan sakit. Kalau tidak saya memang tidak boleh menunggang motosikal kerana masih sakit," kata Zaqhwan yang kali terakhir memenangi perlumbaan di SIC pada Kejuaraan Superbike Malaysia (MSS) 2014. 

"Saya memang mensasarkan kemenangan tetapi kalau jatuh, saya perlu akur dan akan cuba sekali lagi. Apapun, saya mengambil risiko ini untuk memberi semangat kepada diri sendiri dan apa yang saya lakukan ini adalah tepat.”

Sementara itu dalam kelas SuperSports 600cc, Kasma Daniel Kasmayudin mempamerkan semangat juang tinggi apabila menamatkan Perlumbaan 2 di tempat ketiga, hari ini. 

KASMA beraksi dalam Perlumbaan 2 kelas SuperSports 600cc pada Kejuaraan Motosikal Asia Idemitsu (ARRC) di Sirkit Antarabangsa Sepang (SIC). - Foto Luqman Hakim Zubir
KASMA beraksi dalam Perlumbaan 2 kelas SuperSports 600cc pada Kejuaraan Motosikal Asia Idemitsu (ARRC) di Sirkit Antarabangsa Sepang (SIC). - Foto Luqman Hakim Zubir

Bergelut dengan kesilapan sendiri terutamanya pada empat pusingan terakhir perlumbaan, Kasma bagaimanapun membuktikan keupayaannya untuk bangkit memberi saingan kepada kelompok empat pendahulu saingan. 

Daripada kesungguhannya di saat genting itu, Kasma mampu memintas dua rakan senegaranya dari pasukan SIC Junior ZK Racing, Adam Norrodin dan Md Helmi Azman (Mushashi Boon Siew HONDA Racing) yang turut berada dalam perebutan tempat di podium.

"Saya rasa pada empat pusingan terakhir, saya melakukan kesilapan di Selekoh 14. Saya terbabas sedikit dan ia membolehkan pelumba lain memintas saya,” kata Kasma.

"Mungkin saya terlalu gopoh tetapi saya cuba untuk kejar semula (kelompok depan) bagi membolehkan saya bersaing dengan Helmi (Azman), Andi (Farid Izdihar) dan Adam (Norrodin). 

"Apapun, pada penghujungnya saya hanya mampu bersaing dengan Helmi dan Adam saja sebelum  memintas Adam di pusingan terakhir perlumbaan.”

KASMA (kanan) bergambar bersama pemenang tempat pertama, Peerapong Boonlert (tengah dan pemenang tempat kedua, Andi Farid Izdihar. - Foto Luqman Hakim Zubir
KASMA (kanan) bergambar bersama pemenang tempat pertama, Peerapong Boonlert (tengah dan pemenang tempat kedua, Andi Farid Izdihar. - Foto Luqman Hakim Zubir

KEPUTUSAN

Pusingan 1 Kejuaraan Motosikal Asia Idemitsu (ARRC) 2019

Asian Superbikes 1000cc

Perlumbaan 2

1. Zaqhwan Zaidi (MAS/Honda Asia-Dream Racing With SHOWA) 27:20.147s

2. Thitipong warakorn (THA/KAWASAKI Thailand Racing) 27:23.706s

3. Yuki Ito (JPN/YAMAHA Racing Team ASEAN) 27:27.360s

4. Apiwath Wongthananon (THA/YAMAHA Thailand Racing) 27:48.598s

5. Broc Parkes (AUS/YAMAHA Racing Team ASEAN) 27:49.382s

SuperSports 600cc

Perlumbaan 2

1. Peerapong Boonlert (THA/YAMAHA Thailand Racing) 21:57.152s

2. Andi Farid Izdihar (INA/ASTRA HONDA Racing) 21:59.138s

3. Kasma Daniel Kasmayudin (MAS/Hong Leong YAMAHA Malaysia) 21:59.471s

4. Adam Norrodin (MAS/SIC Junior ZK Racing) 21:59.656s

5. Md Helmi Azman (MAS/Musashi Boon Siew HONDA Racing) 22:00.090s

Berita Harian X