Isnin, 25 Februari 2019 | 5:40pm
HAFIZH Syahrin Abdullah
HAFIZH Syahrin Abdullah

Hafizh positif tapi belum mencukupi

 

KUALA LUMPUR: Ada peningkatan daripada sudut catatan masa dilakukan Hafizh Syahrin Abdullah pada sesi ujian rasmi pra musim MotoGP di Sirkit Antarabangsa Losail, Qatar namun bagi pelumba Red Bull KTM Tech3 itu, ia masih belum memadai. 

Hafizh menamatkan dua sesi ujian rasmi masing-masing dengan catatan 1 minit 57.459 saat pada hari Sabtu dan 1:56.983s (semalam) namun catatannya itu masih jauh daripada kelompok depan. 

Semalam, pelumba Suzuki Ecstar, Alex Rins menggungguli sesi kedua dengan catatan terpantas 1:54.593s sekali gus menyaksikan Hafizh dan pasukan harus berusaha lebih untuk menjinakkan jentera KTM RC16 sebelum sesi ujian rasmi menutup tirainya, tengah malam ini. 

"Kami mempamerkan peningkatan, tetapi kami masih agak jauh," kata Hafizh. "Hari kedua yang begitu sukar. Kami cuba mengubah banyak perkara untuk meningkatkan perasaan ketika membrek terutamanya di bahagian depan motosikal. 

"Di bahagian belakang, kami hanya mencuba tayar jenis lembut. Jujurnya, saya sedikit kecewa dengan diri sendiri kerana saya menjangkakan yang lebih baik tetapi seakan ada sesuatu menghalang kami untuk lebih maju. 

"Apapun, kami akan cuba berusaha gigih, cuba untuk lebih memahami dan saya mahu kembali segar untuk esok (malam ini), kerana ia adalah hari terakhir sebelum musim baharu bermula."

Musim Kejuaraan Motosikal Dunia 2019 dijadual membuka tirai di litar sama dari 8 hingga 10 Mac ini. 

Sementara itu pelumba pasukan PETRONAS Yamaha Sepang Racing yang juga pelumba muka baharu bagi musim 2019 (rookie), Fabio Quartararo menempatkan dirinya di tangga ketiga terpantas semalam. 

Pelumba  dari Perancis berusia 19 tahun itu mencatat 1:54.908s di belakang Maverick Vinales (Monster Energy Yamaha MotoGP, 1:54.650s) dan ketinggalan 0.057s di belakang Rins.

Berita Harian X