Rabu, 13 Februari 2019 | 5:51pm

Belum masa F1 kembali - Razlan

KUALA LUMPUR: Banyak faktor yang perlu diambil kira seandainya mahu mengembalikan perlumbaan Formula Satu (F1) kembali di Malaysia namun ia bukan sesuatu yang mustahil untuk direalisasikan.

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif Sirkit Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali, keinginan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk melihat kegemilangan F1  kembali di Sepang mungkin berlandaskan emosinya, namun sekiranya kerajaan ingin membawa semula F1 ke Sepang ia akan dilakukan dengan lebih teratur.

Ketua Pegawai Eksekutif Sirkit Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali. - Arkib NSTP
Ketua Pegawai Eksekutif Sirkit Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali. - Arkib NSTP

"Jadi apabila tiba masanya untuk kami membawa F1 semula, maka selepas itu baru kami akan memikirkannya,” kata Razlan.

"Banyak faktor pada masa ini. Ia hanya imbauan memori buat Tun. Sekiranya masa itu (menilai semula F1) tiba nanti, saya fikir akan ada satu perincian rapi harus dilakukan bagi memastikan pusingan F1 yang seterusnya di Malaysia akan lebih terancang dan lebih bagus daripada sebelum ini."

Semalam, Tun Dr Mahathir yang menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat pada majlis Anugerah PETRONAS, SIC,  Persatuan Permotoran Malaysia (MAM) seperti mengharapkan kegemilangan perlumbaan berprestij itu kembali ke litar Sepang.

Dalam ucapannya, Tun Dr Mahathir mengimbau kembali detik tercetusnya idea pembinaan sebuah litar untuk F1 di Malaysia selepas mengadakan kunjungan ke sirkit Estoril di Portugal.

Hasilnya, sebuah litar moden dibina di Sepang dan SIC mula menganjurkan perlumbaan F1 pada tahun 1999.

Banyak faktor yang perlu diambil kira seandainya mahu mengembalikan perlumbaan F1 kembali di Malaysia. - Arkib NSTP
Banyak faktor yang perlu diambil kira seandainya mahu mengembalikan perlumbaan F1 kembali di Malaysia. - Arkib NSTP

Namun atas beberapa faktor tertentu termasuk pulangan yang semakin menurun, perlumbaan berkenaan tidak lagi diadakan di Sepang bermula tahun lalu.

"Ada lima tahun untuk kami menilainya. Sekarang tahun kedua, sekiranya ada perubahan dalam perancangan kerajaan, maka kami perlu melihatnya.

"Buat masa sekarang, tidak. Kami hanya fokus kepada kelangsungan tanpa F1 malah kami tidak pernah memikirkan untuk menganjurkan F1,” kata Razlan.

Berita Harian X