Selasa, 11 September 2018 | 4:04pm
PELUMBA Moto2 negara, Khairul Idham Pawi. - Foto Osman Adnan
PELUMBA Moto2 negara, Khairul Idham Pawi. - Foto Osman Adnan

SuperKIP cari rentak lebih baik di Aragon

KUALA LUMPUR: Isu di bahagian suspensi depan menjadi punca kepada ketidakupayaan pelumba Moto2 negara, Khairul Idham Pawi untuk mencari penamat lebih baik pada perlumbaan Grand Prix (GP) San Marino hujung minggu lalu.

Namun, pelumba negara itu percaya, masalah berkenaan akan dapat diatasi pada pusingan seterusnya di GP Aragon, Sepanyol, yang dijadualkan pada 23 September ini.

Pelumba IDEMITSU Honda Team Asia yang bakal berhijrah ke pasukan PETRONAS Sepang Racing musim depan itu berkata, pada perlumbaan di Sirkit Misano, krew pasukan sudah memperbaiki masalah di bahagian suspensi belakang jentera yang dialaminya sebelum ini.

Biarpun begitu, juara GP Jerman dan Argentina dalam kelas Moto3 pada 2016 itu mendapati berlaku masalah baharu apabila ada kekangan di bahagian depan sebaik saja perlumbaan bermula.

"Kami mengubahsuai bahagian suspensi belakang untuk perlumbaan dan ia memberi cengkaman yang baik kepada saya," kata Khairul Idham atau lebih dikenali sebagai SuperKIP yang memulakan saingan daripada petak ke-27.

"Bagaimanapun, saya merasai terdapat kekangan di bahagian depan sebaik saja perlumbaan bermula dan ia sukar untuk mencari kelajuan yang diinginkan.

"Kesimpulannya, perlumbaan adalah sukar tetapi saya berharap untuk perlumbaan seterusnya di Aragon, kami dapat menjadi lebih kuat dan kompetitif."

Khairul Idham menamatkan 25 pusingan perlumbaan di tangga ke-22, dengan catatan 41 minit 55.496 saat, manakala pelumba Itali, Francesco Bagnaia meraih kemenangan keenamnya bagi musim ini.

Musim 2018 kini hanya berbaki enam pusingan saja lagi dan ketika ini, Khairul Idham hanya mengutip satu mata di GP Perancis untuk berada di tangga ke-27 dalam kelas pertengahan itu.

Berita Harian X