Jumaat, 31 Ogos 2018 | 6:45pm
KHAIRUL Idham Pawi - Foto MUHD ZAABA ZAKERIA
KHAIRUL Idham Pawi - Foto MUHD ZAABA ZAKERIA

SuperKIP mampu bangkit di Misano

KUALA LUMPUR: Pengurus pasukan IDEMITSU Honda Team Asia, Hiroshi Aoyama menganggap prestasi Khairul Idham Pawi di Grand Prix (GP) British yang dibatalkan minggu lalu akibat keadaan trek Silverstone berisiko selepas hujan berlarutan sebagai kurang menyerlah.

Namun Aoyama yakin Khairul Idham yang dikenali sebagai SuperKIP itu akan kembali berada di tahap kompetitif di GP San Marino, 9 September ini.

Kali terakhir, SuperKIP mempamerkan tunggangan meyakinkan adalah di GP Austria, 12 Ogos lalu yang menyaksikan dirinya hanya ketinggalan satu anak tangga di belakang kelompok 15 terbaik.

“Dia tidak menunjukkan kelajuannya (di GP British),” kata Aoyama yang menyaksikan saingan Moto2 hanya sempat memasuki sesi pemanas badan dan Khairul Idham menamatkan saingan itu di tempat ke-26.

“Apapun saya percaya, dia akan kembali bangkit untuk berada di tahap kompetitif sebenarnya di San Marino nanti,” kata Aoyama.

Selepas 12 pusingan perlumbaan musim ini, Khairul Idham hanya  mengutip satu mata di GP Perancis, 20 Mei lalu.

Berdasarkan rekod musim lalu, Khairul Idham mempunyai pencapaian yang baik di trek Misano, menamatkan perlumbaan di atas permukaan litar basah itu di tempat kelapan.

Berita Harian X