Rabu, 15 Ogos 2018 | 5:14pm
KHAIRUL Idham Pawi
KHAIRUL Idham Pawi

SuperKIP tekad perbaiki kelemahan di GP British

KUALA LUMPUR: Pelumba Moto2 negara, Khairul Idham Pawi mahu menekankan aspek permulaan perlumbaan sebagai keutamaannya di Grand Prix (GP) British, minggu depan.

Khairul Idham mencatat masa kelima terpantas pada sesi latihan bebas kedua GP Austria yang berlangsung dalam keadaan litar basah minggu lalu, namun mengakhiri perlumbaan di Sirkit Red Bull Ring - Spielberg di tangga ke-16.

Pelumba IDEMITSU Honda Team Asia berusia 20 tahun itu sekali lagi terlepas peluang untuk berada di dalam kelompok menjanjikan mata dan dia mempelajari betapa permulaan perlumbaan adalah penting sekiranya mahu berada dalam senarai 15 terbaik.

“Biarpun saya mengalami masalah pada hari perlumbaan, saya fikir kedudukan saya tidaklah begitu teruk. Sebaik permulaan, saya melakukan kesilapan di Selekoh 6, dan ramai pesaing memintas saya.

“Kemudian, saya memperbaiki kedudukan dan melakukan catatan terbaik di pusingan terakhir dan ia satu perkara yang baik.

“Sudah tentu untuk perlumbaan seterusnya di Silverstone, objektif saya adalah untuk memperbaiki permulaan perlumbaan,” kata Khairul Idham yang ketika ini disebut-sebut bakal menyertai pasukan tempatan, PETRONAS Sprinta Racing dalam kelas Moto2.

Sementara itu, pengurus pasukan Hiroshi Aoyama juga mempunyai pendapat sama dan mahu pelumbanya yang dikenali sebagai SuperKIP itu memperbaiki permulaan perlumbaan.

“Meskipun dia mengekalkan persaingan, dia mempunyai jurang 12 saat di lima pusingan awal yang mengganggu perlumbaan sehingga akhir saingan.

“Ini adalah sesuatu yang perlu diperbaikinya di Silverstone nanti,” kata Aoyama menjelang perlumbaan ke-12 musim itu minggu depan.

Berita Harian X