Ahad, 5 Ogos 2018 | 9:44pm
PELUMBA Moto3 Malaysia, Adam Norrodin. - Foto Asyraf Hamzah
PELUMBA Moto3 Malaysia, Adam Norrodin. - Foto Asyraf Hamzah

Adam gagal tamatkan perlumbaan di Brno

 

KUALA LUMPUR: Nasib tidak menyebelahi pelumba Moto3 negara, Adam Norrodin apabila terjatuh pada pusingan terakhir ketika sedang bersaing sengit merebut penamat yang menawarkan mata pada perlumbaan Grand Prix (|GP) Republik Czech, hari ini.

Ia sekali gus menyaksikan pelumba PETRONAS Sprinta Racing itu gagal melengkapkan 18 pusingan perlumbaan yang dimenangi pelumba Del Conca Gresini Moto3, Fabio Di Giannantonio.

Aron Canet dari pasukan Estrella Galicia 0,0 muncul naib juara di Sirkit Brno manakala pelumba tuan rumah yang juga bekas rakan sepasukan Adam, Jakub Kornfeil melengkapkan kedudukan di pentas podium.

Rakan sepasukan Adam dari Jepun, Ayumu Sasaki pula melengkapkan perlumbaan dengan berada di tempat ke-22 dengan perbezaan 12.942 saat daripada catatan dilakukan Giannantonio, 39 minit 09.124 saat.

Selepas 10 pusingan musim setakat ini, Adam sudah mengumpul 24 mata untuk berada di tangga ke-20 keseluruhan manakala Sasaki satu mata di belakang rakan sepasukannya itu.

Sementara itu, dalam kelas Moto2, pelumba negara Khairul Idham Pawi dari pasukan IDEMITSU Honda Team Asia menamatkan saingan di tempat ke-20 dengan catatan, 39'43.658s.

Pusingan ke-11 dijadual berlangsung di GP Austria, 12 Ogos ini.

Berita Harian X