Isnin, 7 Mei 2018 | 8:11pm
KHAIRUL IDHAM PAWI
KHAIRUL IDHAM PAWI

SuperKIP mahu atasi masalah tayar belakang

KUALA LUMPUR: Pelumba Moto2 negara, Khairul Idham Pawi mengharapkan masalah cengkaman di bahagian tayar belakang dapat diperbaiki menjelang pusingan kelima Grand Prix (GP) Perancis, 20 Mei ini.

Pelumba IDEMITSU Honda Team Asia itu meraih penamat terbaiknya selepas empat perlumbaan musim 2018 di GP Sepanyol semalam apabila menemui garisan penamat di tangga ke-18 dengan catatan 40 minit 07.723 saat.

Namun, Khairul Idham yang sudah dua musim berada dalam kelas pertengahan itu berkata, dia mula mengalami masalah berkenaan ketika saingan memasuki baki pusingan terakhir sekali gus menyukarkannya untuk mengekalkan momentum kelajuan.

"Permulaan saya tidak begitu teruk, jadi saya cuba mengekalkan kelajuan. Namun, cengkaman di bahagian belakang (tayar) mula berkurangan ketika perlumbaan berbaki lima ataupun enam pusingan dan saya dapati sukar untuk mengekalkan rentak sedia ada.

"Kami perlu mengatasi masalah ini untuk perlumbaan seterusnya."

Mengulas mengenai isu yang dihadapinya sebelum ini, Khairul Idham ataupun lebih dikenali sebagai SuperKIP berkata: "Berhubung isu di bahagian depan, saya tidak merasainya dalam perlumbaan ini, terima kasih kepada pasukan atas usaha mereka. Saya akan memberikan yang terbaik untuk perlumbaan seterusnya."

Sementara itu, pengurus pasukan, Hiroshi Aoyama merumuskan perlumbaan di Jerez sebagai sangat positif sebelum mengharungi saingan di Le Mans.

"Minggu ini, Pawi dapat merapatkan jurang dengan pelumba lebih laju dengan mengambil pendekatan berbeza berbanding perlumbaan sebelumnya," kata Aoyama.

"Saya harap, keputusan yang diraihnya dapat meningkatkan keyakinannya. Sasaran untuknya selepas ini adalah menyesuaikan diri dengan pengurangan penggunaan tayar.

"Apapun, dia masih mempunyai ruang untuk meningkat, perlumbaan kali ini sangat positif, dia sangat bermotivasi untuk mendapatkan keputusan lebih baik pada perlumbaan di Le Mans nanti."

Berita Harian X