X
Sabtu, 5 Mei 2018 | 11:53pm

SuperKIP, Zulfahmi bermula dari barisan belakang

KUALA LUMPUR: Pelumba IDEMITSU Honda Team Asia, Khairul Idham Pawi bakal memulakan perlumbaan Grand Prix (GP) Sepanyol dari petak ke-25 manakala muka baharu dalam kelas Moto2, Zulfahmi Khairuddin ke-33, esok.

Khairul Idham yang sudah dua musim dalam kelas pertengahan itu mencatat masa sepusingan terbaiknya, 1 minit 43.334 saat di litar Jerez dalam sesi kelayakan sebentar tadi manakala Lorenzo Baldassarri dari pasukan Pons HP40 meraih petak pertama (1'41.925s).

Zulfahmi yang mewakili SIC Racing pula mencatat 1'44.855s untuk berada di barisan ke-11 bersama dua lagi pelumba, Xavi Cardelus (Team Stylobike) dan Federico Fuligni (Tasca Racing Scuderia Moto2).

Alex Marquez yang meraih penamat kedua di GP Amerika Syarikat dua minggu lalu bakal memulakan perlumbaan dari petak kedua selepas mencatat 1'41.996s manakala Francesco Bagnaia, ketiga 1'42.064s.

Jorge Navarro yang meraih masa keempat terpantas 1'42.324s mengetuai barisan kedua perlumbaan disertai Brad Binder (1'42.362s) dan Joan Mir (1'42.36s).

Untuk rekod, Khairul Idham yang pernah mewarnai kelas Moto3 dengan meraih dua kemenangan di GP Argentina dan GP Jerman pada musim 2016, tidak menamatkan perlumbaan di Jerez tahun lalu selepas terjatuh.

Setakat tiga pusingan musim 2018 ketika ini, Khairul Idham dan Zulfahmi masing-masing masih belum mengutip sebarang mata.

Berita Harian X