Rabu, 4 April 2018 | 6:46pm
PELUMBA Moto2 negara, Zulfahmi Khairuddin sedia baiki tunggangannya pada pusingan kedua di Argentina, hujung minggu ini. - Foto E- mel
PELUMBA Moto2 negara, Zulfahmi Khairuddin sedia baiki tunggangannya pada pusingan kedua di Argentina, hujung minggu ini. - Foto E- mel

Zulfahmi tekad bangkit di Argentina

KUALA LUMPUR: Selepas mengharungi detik sukar di Grand Prix (GP) Qatar pertengahan bulan lalu, pelumba Moto2 negara, Zulfahmi Khairuddin bertekad memperbaiki kelemahan tunggangannya pada pusingan kedua di Argentina, hujung minggu ini.

Pelumba SIC Racing itu menamatkan saingan pembuka tirai di Litar Losail dengan berada di tangga ke-28, ketinggalan 1 minit 11.618 saat (s) daripada pemenang, Francesco Bagnaia (SKY Racing Team VR46).

Pelumba berusia 26 tahun itu memulakan saingan dari petak terakhir, 32, selepas mencatat 2'04.780s pada sesi kelayakan pertamanya di kelas pertengahan.

Seorang lagi pelumba negara yang beraksi dalam kelas sama, Khairul Idham Pawi dari pasukan IDEMITSU Honda Team Asia pula menamatkan perlumbaan di tangga ke-23 dengan catatan, 41'02.578s.

"Selepas perlumbaan di Qatar, saya belajar banyak perkara dan mempunyai beberapa perancangan dengan pasukan untuk meningkatkan kemampuan motosikal dan juga corak tunggangan saya selepas ini," kata Zulfahmi.

Zulfahmi membuat kemunculan semula di Kejuaraan Motosikal Dunia selepas kali terakhir beraksi di kancah Moto3 pada tahun 2015.

"Trek di Argentina lebih kurang dengan Qatar tetapi sudah pasti hari pertama akan menjadi sukar dan saya berharap dapat menjadi kompetitif dari awal lagi," katanya.

Berita Harian X