Selasa, 21 November 2017 | 8:11pm
PELUMBA Idemetsu Honda Team Asia, Khairul Idham Pawi mahu buktikan sesuatu untuk musim keduanya tahun depan bersama pasukan Idemitsu Honda Team Asia. - Foto Luqman Hakim Zubir
PELUMBA Idemetsu Honda Team Asia, Khairul Idham Pawi mahu buktikan sesuatu untuk musim keduanya tahun depan bersama pasukan Idemitsu Honda Team Asia. - Foto Luqman Hakim Zubir

Misi baru SuperKIP

KUALA LUMPUR: Namanya tenggelam pada musim Moto2 2017 namun peluang masih ada buat Khairul Idham Pawi membuktikan sesuatu untuk musim keduanya tahun depan bersama pasukan Idemitsu Honda Team Asia.

Bekas juara Moto3 di Grand Prix (GP) Argentina dan Jerman 2016 itu menggunakan sepenuhnya musim 2017 untuk menimba pengalaman dan 'memahami' jentera Moto2 berkuasa 600cc.

Khairul atau dikenali sebagai SuperKIP, hanya mengumpul 10 mata untuk berada di tangga ke-27 keseluruhan kelas pertengahan itu dengan pencapaian terbaiknya di GP Republik Czech (ke-14) dan kelapan di San Marino.

Apa pun, pelumba berusia 18 tahun itu hanya tiga kali gagal menamatkan perlumbaan daripada 18 pusingan musim ini - sekali gus membuktikan dirinya mampu mencari keputusan lebih baik tahun depan.

"Syukur kerana saya masih menjadi sebahagian daripada pasukan untuk musim 2018," kata pelumba kelahiran Kampung Gajah, Perak itu.

"Saya akan melakukan yang terbaik bersama pasukan untuk mencari keputusan lebih baik musim depan.

"Saya percaya, saya masih boleh mempertingkatkan corak tunggangan bersama bekas pelumba ujian, (Hiroshi) Aoyama yang menyertai pasukan selaku pengurus."

Bagi musim depan, Khairul Idham juga akan bergandingan dengan rakan sepasukan baharu dari Jepun, Tetsuta Nagashima yang menggantikan Takaaki Nakagami.

Nakagami akan menyertai pasukan LCR Honda bagi mengharungi musim pertamanya dalam kelas utama MotoGP Kejuaraan Motosikal Dunia tahun depan.

Berita Harian X