Ahad, 15 Oktober 2017 | 6:45pm
Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin membuktikan dirinya berpotensi untuk menyertai MotoGP pada masa depan. - Foto AFP
Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin membuktikan dirinya berpotensi untuk menyertai MotoGP pada masa depan. - Foto AFP

Hafizh puas podium kedua musim ini

KUALA LUMPUR: Penunggang Moto2, Hafizh Syahrin Abdullah membuktikan dirinya berpotensi untuk menyertai MotoGP pada masa depan selepas menamatkan saingan di podium buat kali kedua dalam tiga perlumbaan di Grand Prix Motosikal Jepun hari ini.

Perlumbaan yang berlangsung dalam cuaca hujan itu, bertepatan dengan kemampuan Hafizh yang juga pakar litar basah untuk memenangi tempat ketiga di Litar Twin Ring Motegi, menamatkan saingan 3.134 saat di belakang Alex Marquez (Marc VDS) yang menang dengan masa 32 minit 08.901 saat.

Xavi Vierge dari Tech 3 Racing berada di tempat kedua 1.465s di belakang Marquez sementara penunggang Idemitsu Honda Team Asia, Khairul Idham Pawi sekadar di tangga ke-23.

Hafizh dari PETRONAS Raceline, mempamerkan kehebatannya sepanjang hujung minggu ini dan mendahului catatan masa pada sesi latihan bebas ketiga dan kemudian melayakkan diri di petak keenam.

Dia sebelum ini memperoleh kemenangan podium pertama (tempat ketiga) Moto2 di San Marino bulan lalu.

HAFIZH Syahrin mengekori rapat pelumba pasukan Kalex, Mattia Pasini pada aksi Moto2 di GP Jepun. - Foto AFP
HAFIZH Syahrin mengekori rapat pelumba pasukan Kalex, Mattia Pasini pada aksi Moto2 di GP Jepun. - Foto AFP

"Kami sebenarnya yakin sepanjang hujung minggu ini dan hanya perlu kekal bertenang dan memberi fokus," kata pelumba berusia 23 tahun itu.

"Perlumbaan itu sangat sempurna dan saya amat gembira dapat menamatkan saingan dengan podium kedua saya musim ini. Jentera saya juga berada dalam keadaan baik dan kompetitif sepanjang minggu. Kami berjaya merekodkan masa terpantas sepusingan hari ini.

"Keputusan ini akan memberi motivasi kepada kami untuk terus berusaha bagi perlumbaan akan datang. Terima kasih yang tak terhingga kepada semua yang menyokong dan doa mereka.

"Kami akan bekerja lebih keras dan melakukan yang terbaik bagi membalas kepercayaan peminat, rakan kongsi dan juga penaja."

Persembahannya di Motegi membantunya membaiki kedudukan keseluruhan Moto2 dengan kini mendaki satu tangga ke kedudukan ke-10 dengan 82 mata.

Berita Harian X