Sabtu, 7 Oktober 2017 | 9:29pm
PELUMBA Petronas Raceline, Hafizh Syahrin bersama barisan pasukannya. - Foto Hasriyasyah Sabudin
PELUMBA Petronas Raceline, Hafizh Syahrin bersama barisan pasukannya. - Foto Hasriyasyah Sabudin

Sanggupkah Petronas berpisah dengan Hafizh Syahrin

KUALA LUMPUR: Sebelum ini, arena permotoran dua roda negara digemparkan dengan spekulasi pemindahan Hafizh Syahrin Abdullah ke pasukan baharu sekali gus meninggalkan Petronas Raceline yang menjadi asas kepada karier antarabangsanya.

Sejak beraksi secara musim penuh dalam kelas Moto2 pada 2014, prestasi Hafizh sentiasa menunjukkan peningkatan sehingga ke hari ini termasuk kejayaan meraih penamat podium pertamanya di Grand Prix San Marino, bulan lalu.

Namun di sebalik rekod di trek, Hafizh atau dikenali sebagai Pescao kini menjadi topik perbualan hangat mengenai penghijrahannya ke pasukan Moto2 baharu yang bakal ditubuhkan di bawah kendalian Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Antara persoalan yang timbul adalah mengenai penaja dan adakah Petronas akan mengikut jejak Hafizh ke pasukan baharu ataupun melepaskan saja pelumba senior tunggal yang masih berada dalam Program Pembangunan Bakat syarikat petroleum itu.

PETRONAS mempunyai seorang lagi pelumba di bawah program iaitu Kasma Daniel Kasmayudin, namun pemilik gelaran 'Dragonboy' itu masih dalam proses pembikinan.

Dan jika Petronas mengambil keputusan melepaskan pelumba tajaannya Hafizh, ia sudah tentu menjadi satu kerugian - seumpama membuang permata berharga seterusnya harus menggilap bakat baharu yang mungkin mengambil masa.

"Kamu cuba bayangkan, Hafizh adalah pelumba yang bagus dan adakah penaja akan meninggalkannya begitu saja?" kata sumber bagi menjawab persoalan itu.

"Mereka (Petronas) mungkin akan bersama Hafizh nanti tetapi biarlah dia bertenang untuk memberi fokus kepada dua perlumbaan yang terdekat ini (GP Jepun dan Australia).

"Selepas itu perlumbaan berlangsung di Malaysia dan mungkin persoalan itu akan terjawab pada minggu MotoGP nanti."

Perlumbaan GP Shell Malaysia dijadual berlangsung pada 27 hingga 29 Oktober ini di litar Sepang - di mana Hafizh merekodkan penamat kelima, tahun lalu.

Hafizh sebelum ini, mengesahkan dia akan berpindah ke pasukan baharu tahun depan selepas mengambil kira beberapa faktor utama termasuk isu dalaman pasukan, namun menjelaskan tidak mempunyai sebarang masalah dengan Petronas.

Berita Harian X