Rabu, 12 Jun 2024 | 3:06pm
Syarul Azman Mahen Abdullah (kanan) dan Natasha Mohamed Roslan masing-masing diletakkan sebagai pilihan bagi merangkul gelaran Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan 2023.
Syarul Azman Mahen Abdullah (kanan) dan Natasha Mohamed Roslan masing-masing diletakkan sebagai pilihan bagi merangkul gelaran Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan 2023.

Syarul, Natasha pilihan rangkul Olahragawan, Olahragawati 2023

KUALA LUMPUR: Jaguh bina badan negara, Datuk Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah dan atlet boling wanita, Natasha Mohamed Roslan masing-masing diletakkan sebagai pilihan bagi merangkul gelaran Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan 2023.

Bagi Syarul Azman yang mesra disapa Mike, ini adalah kali keenam dia disenaraikan sebagai lima calon akhir bagi merebut anugerah berprestij itu pada Anugerah Sukan Negara (ASN) 2023 yang akan berlangsung, esok.

Pencapaian terbesarnya tahun lalu adalah dia muncul juara dunia buat kali keenam di Kejohanan Dunia Bina Badan dan Fizik 2023 di Wonju, Korea Selatan pada November tahun lalu.

Dia yang mengumumkan persaraannya pada Mac lalu bagaimanapun berdepan tentangan sengit daripada empat lagi calon akhir termasuk atlet ekuestrian yang memenangi pingat emas Sukan Asia Hangzhou, Mohd Qabil Ambak Mahamad Fathil.

Turut tersenarai adalah jaguh skuasy, Ng Eain Yow yang turut memenangi emas di Hangzhou, Muhammad Arif Afifuddin Ab Malek (karate) dan Muhammad Rafiq Ismail (tenpin boling).

Sekiranya tuah kali keenam menyebelahi Mike untuk merangkul gelaran sulung kali ini, dia akan menjadi atlet bina badan negara yang ketiga dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan selepas Datuk Malek Noor dan Sazali Samad.

Malek Noor pernah sekali dinobatkan sebagai Olahragawan iaitu pada 1986 manakala Sazali yang juga juara dunia 10 kali pernah memenanginya sebanyak empat kali bermula 2000, 2006, 2013 dan 2014.

Sementara itu, pencapaian Natasha menamatkan kemarau 12 tahun Malaysia bagi muncul juara dunia meletakkan dia pilihan utama untuk dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan buat kali pertama.

Natasha menamatkan kemarau 12 tahun Malaysia selepas memenangi pingat emas acara individu pada Kejohanan Dunia di Salmiya, Kuwait pada 9 Oktober tahun lalu.

Dia mengetepikan cabaran rakan senegara, Sin Li Jane menerusi keputusan 2-1 dalam format tiga permainan terbaik pada aksi yang berlangsung di Kuwait Bowling Sporting Club.

Kali terakhir Malaysia meraih pingat emas acara itu adalah menerusi Jacqueline Sijore pada 2011 di Hong Kong.

Natasha akan bersaing Nur Amisha Azrilrizal (Muay Thai), Nur Syazrin Mohamad Latif (pelayaran) dan Nurul Alyani Jamil (boling padang) bagi perebutan gelaran Olahragawati Kebangsaan.

Sebagai rekod, kali terakhir atlet boling wanita merangkul Olahragawati Kebangsaan adalah menerusi Datuk Syalin Zulkifli pada 2002.

Berita Harian X