Selasa, 11 Jun 2024 | 6:03pm
Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria menjawab pertanyaan media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Sukan Kebangsaan di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil hari ini. - Bernama
Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria menjawab pertanyaan media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Sukan Kebangsaan di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil hari ini. - Bernama

Siapa diberi penghormatan bawa Jalur Gemilang di Paris?

KUALA LUMPUR: Siapa yang layak menjadi pembawa Jalur Gemilang kontinjen negara pada Sukan Olimpik Paris 2024?

Persoalan itu kini menjadi tanda-tanya berbaki 45 hari sebelum temasya terbesar dunia itu membuka tirainya dari 26 Julai hingga 11 Ogos depan.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria bagaimanapun, berkata setakat ini perkara itu masih belum dibincangkan.

"Perkara itu belum dibincangkan lagi," jawab Norza ringkas ketika ditanya mengenai senarai calon pembawa Jalur Gemilang di Paris.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA) antara Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK) di sini, hari ini.

Pada Sukan Olimpik Tokyo 2020, dua pemain badminton negara diberi penghormatan sebagai pembawa Jalur Gemilang iaitu Lee Zii Jia dan Goh Liu Ying.

Bagi temasya di Paris kali ini, beberapa calon dilihat berpotensi untuk mengetuai cabaran negara dalam misi memburu kilauan pingat emas sulung seperti beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Pasangan nombor lima dunia itu adalah pemenang gangsa Olimpik Tokyo dan turut menjadi antara prospek utama emas sulung negara di Paris.

Bagaimanapun, kelibat jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang juga tidak boleh diketepikan dengan aksi di Paris kali ini bakal menjadi penampilan terakhirnya di temasya terbesar dunia berkenaan.

Azizulhasni, 36, yang juga pemenang gangsa keirin pada edisi 2016 di Rio de Janeiro dan perak di Tokyo 2020 turut pernah menggalas tanggungjawab sebagai pembawa Jalur Gemilang pada edisi 2008 di Beijing.

Setakat ini, seramai 18 atlet negara sudah melayakkan diri ke temasya di Paris.

Dalam pada itu, Norza memaklumkan kontinjen negara ketika ini sedang memperhalusi mekanisme terbaik bagi menentukan sasaran pingat Malaysia di Olimpik Paris.

Beliau, berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN) sebelum menetapkan sasaran rasmi Malaysia.

Katanya, proses-proses bagi menentukan sasaran pingat perlu diperhalusi bagi memastikan atlet yang menggalas cabaran negara pada Olimpik Paris nanti tidak berdepan tekanan tinggi.

"Saya belum sempat berbincang dengan YB Hannah Yeoh (Menteri Belia dan Sukan) berhubung perkara ini (sasaran pingat). Sudah tentu kami akan membincangkan langkah terbaik kerana kita tidak mahu atlet berada dalam keadaan tertekan.

"Seperti yang saya selalu katakan, impian setiap atlet adalah untuk melayakkan diri ke Olimpik. Langkah terakhir sekarang adalah untuk kita berikan sokongan kepada mereka," katanya.

Antara sandaran untuk meraih emas Olimpik pertama negara adalah Azizulhasni, Zii Jia dan Aaron-Wooi Yik.

Berita Harian X