Sabtu, 8 Jun 2024 | 8:18pm
Atlet memanah para negara, S Suresh. Foto FB Team Malaysia
Atlet memanah para negara, S Suresh. Foto FB Team Malaysia

Suresh idam podium Paralimpik Paris

KUALA LUMPUR: Atlet memanah para negara, S Suresh berpegang kepada kata-kata jurulatih, Marzuki Zakaria yang dirinya mampu untuk menamatkan saingan di Sukan Paralimpik Paris 2024 di pentas podium.

Suresh masih mempunyai kira-kira dua bulan lagi sebelum temasya membuka tirainya secara rasmi pada 28 Ogos ini dengan dirinya berpeluang untuk terus membiasakan diri dengan peralatan berteknologi tinggi diterimanya daripada Institut Sukan Negara (ISN) - 'custom made grip'.

Katanya, dia dan pasukan akan terus 'mencuba' peralatan baharu itu di satu kejohanan yang bakal disertai di Republik Czech pada bulan ini.

"Saya mula pakai peralatan ini sejak November tahun lalu lagi. Saya sudah mencubanya dan ia sesuai dengan saya. Saya juga menerima maklum balas yang baik dari ISN dan mereka memberikan saya lebih banyak grip ini.

"Saya harap, boleh buat lebih baik lagi pada kali ini dan saya juga kena berlatih dengan baik. Jurulatih juga ada memberitahu yang saya boleh menaiki podium pada kali ini dan harap ia menjadi nanti," katanya.

Selain Suresh, skuad memanah ke Paris 2024 akan disertai Nur Jannaton Abdul Jalil dan juga G Daneshen dengan kontinjen secara keseluruhan setakat ini sudah diisi seramai 15 atlet.

Antara yang sudah mengesahkan tempat ke Paris 2024 adalah empat atlet para olahraga iaitu Datuk Abdul Latif Romly, Muhammad Ziyad Zolkefli dan Eddy Bernard.

Tiga daripada para berbasikal, Mohamad Yusof Hafizi Shahruddin, Mur Azlia Syafinaz Mohd Rais dan Nurul Suhada Zainal dan lima atlet badminton, Cheah Liek Hou, Muhammad Fareez Anuar, Mohd Amin Burhanuddin, Muhammad Ikhwan Ramli dan Noor Azwan Noorlan.

Berita Harian X