Jumaat, 7 Jun 2024 | 5:32pm
Atlet boling padang negara Nur Ain Nabilah Tarmizi (kanan) dan Aleena Ahmad Nawawi (kiri) memenangi anugerah Atlet Terbaik pada Majlis Anugerah SAM-100PLUS 2023 di Kuala Lumpur malam tadi. – Foto BERNAMA
Atlet boling padang negara Nur Ain Nabilah Tarmizi (kanan) dan Aleena Ahmad Nawawi (kiri) memenangi anugerah Atlet Terbaik pada Majlis Anugerah SAM-100PLUS 2023 di Kuala Lumpur malam tadi. – Foto BERNAMA

Nur Ain Nabilah-Aleena tak sabar kembali ke Gold Coast

KUALA LUMPUR: Duo boling padang wanita negara, Nur Ain Nabilah Tarmizi-Aleena Ahmad Nawawi mengintai peluang melakar satu lagi sejarah dengan muncul wakil pertama Malaysia menjuarai Terbuka Australia di Gold Coast, bermula esok.

Aleena mengharapkan tuah bersaing di Gold Coast sekali lagi memihak kepada mereka selepas muncul juara pada Kejohanan Boling Padang Dunia biarpun kali pertama menyertai pertandingan itu dalam acara pairs wanita September lalu.

"Kami mahu cipta sejarah lagi di tempat sama. Insya-Allah ada peluang dan kami akan cuba beri persembahan terbaik," katanya ketika ditemui selepas majlis Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2023 di sini, malam tadi.

Nur Ain Nabilah-Aleena memahat nama sebagai wakil boling padang negara pertama memenangi Anugerah Atlet Terbaik pada Anugerah SAM-100PLUS.

Turut tercalon bagi anugerah itu dua bintang skuasy negara S Sivasangari dan Ng Eain Yow, atlet wushu Wong Weng Soon serta juara tenpin boling dunia Natasha Mohamed Roslan.

September lalu, pasangan itu menewaskan lawan mereka Rebecca Rixon-Connie Leigh Rixon dari Malta 15-11 sekali gus menamatkan penantian 15 tahun Malaysia untuk muncul juara dunia selepas kali terakhir memenanginya pada 2008.

Safuan Said pernah meraih gelaran juara dunia acara singles lelaki pada edisi 2008 di New Zealand manakala pencapaian terbaik skuad wanita sebelum ini pingat perak acara fours pada 2012 di Adelaide.

Dalam pada itu, Nur Ain Nabilah berkata mereka akan berwaspada dengan ancaman peserta tuan rumah, New Zealand, Kanada dan Hong Kong yang mampu memberi tentangan sengit pada kejohanan itu yang berakhir 21 Jun ini.

"Kejohanan secara tahunan ini adalah pertandingan paling besar buat kami tahun ini selepas beraksi pada Kejohanan Boling Padang Asia ke-15 di Pattaya, Thailand, Mac lalu," katanya.

Mac lalu, Nur Ain Nabilah-Aleena membantu Malaysia merangkul emas fours wanita bersama Nor Farah Ain Abdullah serta Syafiqa Haidar Rahman pada Kejohanan Boling Padang Asia sekali gus menyaksikan pasukan kebangsaan muncul juara keseluruhan dengan tiga pingat emas, dua perak dan dua gangsa. – BERNAMA

Berita Harian X