Jumaat, 7 Jun 2024 | 12:41am
Atlet boling padang negara Nur Ain Nabilah Tarmizi (tiga dari kiri) dan Aleena Ahmad Nawawi (dua dari kanan) menerima trofi Atlet Terbaik daripada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tiga dari kanan) pada Majlis Anugerah SAM-100PLUS 2023 di Kuala Lumpur malam ini. Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh (dua dari kiri) dan Presiden SAM, Norismadi Abd Manap (kiri). – Foto BERNAMA

Atlet boling padang Nur Ain Nabilah-Aleena cipta sejarah

KUALA LUMPUR: Gandingan atlet boling padang negara, Nur Ain Nabilah Tarmizi-Aleena Ahmad Nawawi mencipta sejarah apabila muncul wakil boling padang pertama memenangi Anugerah Atlet Terbaik pada Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2023 di sini, malam ini.

Mereka mengatasi dua bintang skuasy negara, S Sivasangari dan Ng Eain Yow, atlet wushu, Wong Weng Soon serta juara tenpin boling dunia, Natasha Mohamed Roslan.

September lalu, Nur Ain Nabilah-Aleena mencipta sensasi menamatkan kemarau 15 tahun tanpa pingat emas buat Malaysia pada aksi final pairs wanita pada Kejohanan Boling Padang Wanita Dunia 2023 dengan menewaskan wakil Malta, Rebecca Rixon-Connie Rixon 15-12 di Gold Coast, Australia.

Aleena mengakui mereka amat terharu menjadi wakil pertama sukan boling padang dinobat sebagai Atlet Terbaik.

"Kejayaan hari ini amat bermakna... kami tersenarai dalam Anugerah SAM dan pecah rekod muncul atlet boling padang pertama menang Anugerah Atlet Terbaik," katanya kepada pemberita di sini.

Cheah Liek Hou (dua dari kanan) menerima anugerah Atlet Para Terbaik daripada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tengah) pada Majlis Anugerah SAM-100PLUS 2023 di Kuala Lumpur malam ini. – Foto BERNAMA

Dalam pada itu, juara Sukan Paralimpik 2020, Cheah Liek Hou mempertahankan gelaran Atlet Para Terbaik dengan menumpaskan jaguh powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin dan atlet boccia, Noor Askuzaimey Mat Salim.

Liek Hou berkata, dia amat bangga dapat mengekalkan penguasaannya dalam kategori itu dan optimis kejayaan hari ini membakar semangatnya mempertahankan pingat emas Sukan Paralimpik bagi kategori perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) pada edisi 2024 di Paris.

"Kemenangan ini hadir kerana saya dapat menampilkan prestasi bagus dan memenangi beberapa kejohanan pada tahun 2023," katanya.

Antara pencapaian diraih Liek Hou dalam acara perseorangan tahun lalu adalah meraih emas di Kejohanan Para Antarabangsa Sepanyol, Kejohanan Para Brazil dan Kejohanan Para Antarabangsa England.

Gandingan Nur Ain Nabilah-Aleena dan Liek Hou masing-masing menerima trofi dan wang tunai berjumlah RM10,000 yang disampaikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada majlis tahunan itu di sebuah hotel di sini. – BERNAMA

Berita Harian X