Khamis, 6 Jun 2024 | 5:34pm
Pelumba basikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang (tiga darikanan) bersama basikal model WX-R Vortex pada Majlis Pelancaran Team Mas 50 Hari Menjelang Sukan Olimpik 2024 di Majlis Sukan Negara Malaysia hari ini. - BERNAMA
Pelumba basikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang (tiga darikanan) bersama basikal model WX-R Vortex pada Majlis Pelancaran Team Mas 50 Hari Menjelang Sukan Olimpik 2024 di Majlis Sukan Negara Malaysia hari ini. - BERNAMA

Azizulhasni guna basikal baharu di Paris

KUALA LUMPUR: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang hanya akan berlatih menggunakan basikal baharu WX-R Vorteq diterimanya kira-kira sebulan sebelum perlumbaan di Sukan Olimpik Paris 2024 bermula.

Azizulhasni yang bakal menyertai kem latihan di Eropah bermula Sabtu ini bersama rakan sepasukan, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri berkata, beliau akan menerima basikal baharu berkenaan ketika latihan di Belgium sebelum menggunakannya secara lebih kerap di Sepanyol pada Julai ini.

"Ada penambahbaikan daripada sebelum ini. Daripada teknikal, itu kena tanya dengan pasukan ISN (Institut Sukan Negara). Saya pun tak terlalu terkejar-terkejar untuk menggunakan basikal baharu ini, kerana yang sebelum ini pun masih ada.

"Tetapi kebiasaannya saya akan guna basikal baharu ini satu bulan sebelum iaitu di Sepanyol nanti dan di Belgium juga akan cuba juga. Basikal ini tak jauh beza dengan yang lama, jadi tak ada isu. Apapun, itu semua atas pelumba juga, tetapi saya suka pakai (basikal baharu) tiga atau empat minggu sebelum perlumbaan," kata Azizulhasni kepada media selepas Majlis Pelancaran Team MAS bersempena Sukan Olimpik Paris 2024, di Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini.

Difahamkan, skuad berbasikal trek akan menerima lima buah basikal berteknologi tinggi dengan Azizulhasni dan Shah Firdaus masing-masing menerima dua manakala Nurul Izzah sebuah untuk digunakan di Velodrome de Saint-Quentin-en-Yvelines nanti.

Harga pasaran basikal berkenaan ialah RM385,800 dengan ISN membelanjakan RM7.5 juta untuk tujuan RND dan jumlah itu lebih rendah berbanding RM13 juta yang diperuntukkan bagi temasya Tokyo 2020.

"Mungkin ada yang ingat, apabila kita ada basikal baharu, kita pasti akan menang, bukan pasal pasti menang tetapi mengenai meletakkan diri sama dengan pesaing lain. Sebelum ini, kita tidak ada RND, kita satu langkah ke belakang daripada pencabar utama seperti Great Britain, Jerman... mereka sudah ada basikal mereka sendiri.

"Kita mungkin berlatih gigih, tetapi apabila berlumba, kita di belakang dan itu tidak adil, jadi kita harus berbangga dengan apa yang dilakukan (mempunyai basikal sendiri). Bukan semua negara buat, Malaysia, Jepun letak usaha besar dalam pembangunan basikal untuk RND.

"Ini kita panggil teknologi sukan. Sekarang ini, kita sudah sama par dari sudut teknologi dengan Great Britain, Jerman dan juga Jepun. Itu memberikan tambahan keyakinan buat kami apabila kita mempunyai peralatan yang terbaik," katanya.

Berita Harian X