Rabu, 5 Jun 2024 | 5:59pm
Syarul tersenarai buat kali keenam dalam senarai akhir Olahragawan Kebangsaan.
Syarul tersenarai buat kali keenam dalam senarai akhir Olahragawan Kebangsaan.

Mike tersenarai lagi buat kali keenam

KUALA LUMPUR: Selepas lima kali sekadar menjadi calon akhir, adakah rezeki menjadi milik jaguh bina badan negara, Datuk Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah untuk dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan 2023?

Persoalan itu timbul selepas Syarul yang lebih mesra disapa Mike sekali lagi tersenarai dalam senarai lima calon akhir bagi merebut anugerah berprestij itu pada Anugerah Sukan Negara (ASN), 13 Jun ini.

Beliau yang muncul juara dunia dan Asia buat kali keenam tahun lalu bagaimanapun bakal berdepan saingan sengit termasuk pemenang pingat emas Sukan Asia Hangzhou, Mohd Qabil Ambak Mahamad Fathil.

Turut tersenarai ialah pemain skuasy Ng Eain Yow yang turut memenangi emas di Sukan Asia, Muhammad Arif Afifuddin Ab Malek (karate) dan Muhammad Rafiq Ismail (tenpin boling).

Bagi Olahragawati Kebangsaan, Jawatankuasa Pemilihan ASN yang bermesyuarat hari ini menyenaraikan lima atlet iaitu juara boling dunia, Natasha Mohamed Roslan, Nur Amisha Azrilrizal (Muay Thai), Nur Syazrin Mohamad Latif (pelayaran) dan Nurul Alyani Jamil (boling padang).

Jawatankuasa Pemilihan ASN yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Ts Dr K Nagulendran turut menyenarai pendek calon Olahragawan Paralimpik Kebangsaan iaitu Muhammad Ziyad Zolkefli (para olahraga), Datuk Abdul Latif Romli (para olahraga), Muhammad Ammar Aiman Nor Azmi (para olahraga), Bonnie Bunyau Gustin (powerlifting) dan Muhammad Nur Syaiful Zulkafli (para renang).

Untuk Olahragawati Paralimpik Kebangsaan, lima calon yang tersenarai adalah Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais (para berbasikal), Nur Suraiya Muhamad Zamri (para berbasikal), Noor Askuzaimey Mat Salim (boccia), Angeline Melissa Lawas (boccia) dan Jariah Zakaria (para boling padang).

"Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan serta Olahragawan dan Olahragawati Paralimpik Kebangsaan, masing-masing akan menerima piala, piala iringan, sijil dan hadiah wang tunai RM20,000," menurut Majlis Sukan Negara (MSN) dalam satu kenyataan hari ini.

Anugerah lain yang turut dipertandingkan ialah Pasukan Lelaki dan Wanita Kebangsaan, Jurulatih Lelaki dan Wanita Kebangsaan, Anugerah Tokoh Sukan, Anugerah Kepimpinan Sukan dan Anugerah Khas.

ASN yang diperkenalkan sejak 1966 adalah pengiktirafan tertinggi kerajaan bagi menghargai kecemerlangan dicapai atlet, jurulatih, pegawai dan persatuan sukan kebangsaan setiap tahun.

Berita Harian X