Ahad, 2 Jun 2024 | 1:22pm
Skuad hoki negara yang kini sedang beraksi di Poland. - Foto FIH
Skuad hoki negara yang kini sedang beraksi di Poland. - Foto FIH

Razie puji 'wajah baharu' Speedy Tigers

KUALA LUMPUR: Bekas tonggak utama kebangsaan, Muhammad Razie Abdul Rahim memuji prestasi skuad hoki lelaki negara yang kini berwajah baharu di bawah kendalian ketua jurulatih, Sarjit Singh yang disifatkan memiliki masa depan cerah.

Pakar pukulan sudut penalti itu berkata pemain menunjukkan persembahan positif ketika kempen Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) di Ipoh, Perak baru-baru ini dan Piala Negara-Negara FIH yang sedang berlangsung di Poland ketika ini.

Razie, 37, yang diketepikan daripada skuad kebangsaan, berkata pemain Speedy Tigers menunjukkan komitmen serta kemahiran yang tinggi sepanjang aksi di PSAS dan perlawanan pembukaan Piala Negara-Negara menentang Pakistan, kelmarin.

Katanya, walaupun berdepan tempoh persiapan yang singkat, kombinasi antara muka lama dan baharu sudah menunjukkan petanda positif.

"Mereka bermain dengan sangat baik. Pasukan sedang dalam proses pembinaan semula dan pemain perlu banyak belajar. Teruskan belajar serta jangan mudah rasa hilang keyakinan diri.

"Adalah perkara biasa jika terdapat kekurangan apabila beraksi. Kadang-kadang kita mendahului dan ada ketikanya kita juga perlu mengejar untuk kekal di atas.

"Yang penting Speedy Tigers kini sedang dalam proses pembelajaran. Mereka dapat bermain dengan baik dan menerima pujian daripada peminat sukan hoki.

"Negara memerlukan anda dan nasihat saya kepada semua pemain muda dalam pasukan adalah untuk berkembang secepat mungkin," katanya.

Dengan lebih daripada 300 penampilan antarabangsa, Razie berkata faktor usia bukanlah penghalang kepada barisan pemain muda negara untuk membuktikan kemampuan mereka.

"Belajar daripada kesilapan dan terus pandang ke depan. Saya melihat banyak perkara positif dalam pasukan ini," katanya.

Dia turut memuji barisan pemain senior dalam pasukan iaitu gandingan adik beradik, Faizal dan Fitri Saari; kapten pasukan kebangsaan, Marhan Jalil; penjaga gol, Hafizuddin Othman dan Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan kerana tidak lokek ilmu membimbing barisan pemain muda.

Berita Harian X